“BUKAN semua orang suka ada ramai adik beradik, tambahan jika datang dari keluarga kurang berkemampuan. Semua benda kena catu termasuk makan minum. Namun ada juga yang suka bila berkumpul beramai-ramai, sebab bila susah mereka boleh saling membantu. 

“Sebenarnya peranan ibu bapa paling penting dalam mendidik dan mengeratkan hubungan anak-anak sejak mereka masih kecil. Didikan inilah yang akan membuahkan hasil yang baik bila mereka dewasa nanti dan dapat mengeratkan lagi hubungan adik beradik dan membuatkan mereka tambah mesra. Namun tidak dinafikan ramai juga adik beradik tersasar dan membenci antara satu sama lain. 

“Terjadi juga ada kalangan adik beradik setelah berkahwin mereka mula menjauhkan diri dari keluarga disebabkan campur tangan dan hasutan pasangan mereka. Akhirnya ada yang berkecil hati, dengki, cemburu dan membenci adik beradik sendiri.” Itu cerita Norzana dalam E-melnya dua minggu lalu. 

“Saya tak cakap pasal orang lain, tetapi  berlaku dalam keluarga sendiri. Bukan nak buka pekung keluarga, tetapi rasa sakit hati ini akan terubat sedikit bila saya luahkan isi hati yang tak selesa ini kepada orang lain yang tidak saya kenali. Aman sikit jiwa ini. 

“Terus terang saya ceritakan, adik beradik saya enam orang. Masa kecil dan remaja kami memang susah. Walaupun susah, kakak dan abang terpilih ke sekolah berasrama. Kakak kemudian masuk maktab perguruan sementara abang masuk Maktab Tentera. Tinggallah kami di kampung. Ketiga-tiga kami dari kakak ketiga hingga saya anak kelima tidak dapat ke sekolah asrama. Bukan kerana kami kurang pandai, mungkin waktu itu ramai budak lain lebih pandai. 

“Namun kami terus belajar, akhirnya ada yang masuk kolej dan saya masuk IPTA. Tapi adik bongsu habis tingkatan lima terus tak minat belajar. Nak kerja katanya, dan kerja kilang di bandar tak jauh dari rumah. Mak pun tak galakkan adik sambung belajar, sebab kalau semua dah duduk bandar, siapa nak jaga emak dan ayah di kampung.  

“Masa kami belajar, ayah terpaksa jual sebidang tanah untuk tampung perbelanjaan kami. Itu tak masuk dua ekor kerbau pawah. Kata ayah, dia tak mahu berhutang, kita ada sedikit harta, jadi jual mana yang patut. 

“Memang saya tak nafikan ayah dan emak dapat merasa kesenangan hidup bila adik beradik dah bekerja turut menyumbang sebagai membalas budi mereka. Memang kami tak mampu beri mereka kemewahan, tetapi hidup mereka senang. 

Ayah terpaksa jual tanah dan kerbau untuk perbelanjaan pelajaran kami.

“Tetapi yang jadi masalah, dalam semua anak-anak emak, tak semua senang dan bahagia hidup mereka. Sebab dua orang adik beradik kami saya rasa mereka ada masalah dalam rumah tangga. Mereka tak mahu bercerita dengan kami, sebaliknya lebih senang meminta bantuan emak. 

“Salah seorang kakak yang saya panggil Kak Zee saya dapati suaminya seorang yang suka bergaya dan berlagak mewah, tetapi pendapatannya tak seberapa. Cuba fikirkan, dia pakai kereta mewah, sedangkan dia buat bisnes biasa-biasa saja. 

“Setelah mempunyai tiga orang anak, baru rahsia Kak Zee terbongkar bila dia meminta bantuan ayah supaya pinjamkan geran tanah tiga ekar milik ayah untuk dicagarkan ke bank. Bili ayah tanya kenapa nak cagarkan, Kak Zee kata suaminya nak pinjam untuk tambah modal buat bisnes. 

“Pada mulanya kami tak tahu ayah izinkan hinggalah beberapa tahun kemudian apabila satu hari ayah minta bantuan kami tebus tanah tersebut  yang hampir nak tergadai. Kami terkejut. Bila kami tanya kenapa ayah cagarkan tanah, ayah perlukan duit ke, nak buat apa? Bila ayah cagarkan? Untuk kami belajar dulu ke? Semua ayah geleng kepala, emak diam sambil mengelap air mata. 

“Kami nampak ayah serba salah dan susah sangat nak bercerita. Setelah kami asak berkali-kali, baru ayah buka mulut, cerita apa yang berlaku. 

“Abang kata, kita adik beradik akan berunding dan fikirkan apa cara untuk selesaikan masalah. Tapi ayah tambah, baik segerakan sebab adik ayah nak mohon bantuan rumah Mesra Rakyat dari kerajaan, dan kerajaan nak tengok geran sebagai bukti. Itu yang buat ayah terpaksa buka rahsia.    

“Tindakan kami seterusnya, kami perlu tanya Kak Zee apa cerita sebenar. Sepatutnya Kak Zee sendiri boleh bantu suaminya, tak payah cagar gerah tanah ayah ke bank.  Lagi pun Kak Zee bergaji besar juga, takkan tak boleh tolong suaminya. 

“Abang tugaskan saya merisik pada Kak Zee, sebab kami adik beradik memang kurang rapat dengan suami Kak Zee. Pertama sebab mereka memang jarang balik kampung. Kalau balik pun kami cuma jumpa Kak Zee, sementara suaminya kalau balik pun sekejap, sebab sibuk. 

“Mula-mula saya nak datang rumah Kak Zee, tapi katanya dia sibuk. Ajak datang rumah pun Kak Zee tolak, jadi saya terus tanya di telefon, lebih mudah. Tetapi rasanya tak puas sebab tak bersua muka, kalau dapat jumpa tentu lebih banyak cerita boleh saya kumpulkan.

“Kak Zee terkejut bila saya beritahu ayah dah ceritakan semuanya. Adik ayah nak mohon perumahan kerajaan, pegawai kerajaan nak tengok geran sebagai bukti. Nak jadikan cerita, tanah tersebut milik bersama ayah dengan dua orang adiknya. Tanah tersebut pemberian arwah datuk dan ayah yang pegang kuasa untuk mereka adik beradik. Itu sebab ayah mahukan geran itu segera.  

“Awalnya memang Kak Zee berat nak bagi tahu, katanya dia sibuk bekerja, tak boleh telefon lama lama. Jadi saya janji akan telefon di rumah waktu malam. Lagi Kak Zee tak mahu, katanya dia akan hubungi saya bila dia free. 

“Dua hari kemudian Kak Zee jumpa saya di sebuah mall. Sambil minum Kak Zee cerita bukan dia guna duit tu, tapi suaminya sebab nak buat bisnes. Kereta suaminya dah kena tarik, Kak Zee terpaksa berkongsi kereta ke tempat kerja. Bukan itu saja, kata Kak Zee lagi, dia sendiri sudah terikat dengan bank sebab jamin pinjaman suaminya. 

“Terbeliak mata saya. Allah! Apa dah jadi? Tak terfikir saya begitu berat masalah Kak Zee. Patutlah dah bertahun Kak Zee tak balik beraya di kampung. Ada saja alasannya, supaya kami tak bertemu adik beradik. Kak Zee balik raya bila kami dah balik rumah. Bila saya ceritakan pada adik beradik, mereka lagi terkejut. Kami pakat tidak akan ceritakan pada ayah dan emak sebab tak mahu mereka susah hati. 

“Belum habis kami berbincang mencari jalan nak bantu Kak Zee, tetiba emak panggil kami balik, mengejut sangat. Emak cerita kakak sudah bercerai. Aduh apa dah jadi? Tambah pening kepala saya bila emak kata ini semua salah saya kerana saya telah bongkar masalah rumah tangga Kak Zee. Suami Kak Zee mengamuk dan terus ceraikan Kak Zee. 

“Kami tergamam. Sampai begitu sekali, makna kata kakak tak dibenarkan ceritakan masalahnya kepada adik beradik. Sejak itu Kak Zee tak berani telefon kami lagi. Kak Zee sedih kena cerai dan Kak Zee berusaha minta rujuk dengan suaminya. 

“Bab rujuk ini yang buat kami adik beradik mendidih darah. Sudahlah Kak Zee diceraikan, kemudian diugut pulak jangan mengadu pada keluarga kalau mahu rujuk semula. Kak Zee nama je pandai belajar tetapi bab masalah keluarga dia bengong, penakut dan takut kena cerai. 

“Abang minta emak cakap pada kak Zee, jangan takut kalau diceraikan. Adik beradik akan tolong. Kami janji akan bantu selesaikan tanah yang tergadai. Tapi emak bagi tahu, rumah Kak Zee dah kena lelong juga. Kak Zee tunggu masa nak kena pindah. Lagi satu masalah. 

“Oleh kerana kami tak boleh berhubung dengan Kak Zee, abang minta emak bagi tau Kak Zee dia boleh duduk rumah sewa mentua abang. Jngan takut kalau kena pindah. Apa yang membuat abang dan kami semua marah, apa saja nasihat kami kepada Kak Zee semua dia ceritakan kepada suaminya. Sebab itu suaminya tak mahu Kak Zee berbaik dan rapat dengan kami adik beradik. Dia tak mahu rahsianya terbongkar. 

“Dalam pada itu, saya berusaha pujuk Kak Zee, tapi dia takut rapat dengan kami. Namun bila keadaan terdesak akhirnya kami berjaya pujuk Kak Zee pindah. Namun kata ayah, Kak Zee tak ada duit. Tambah bingung kami, macam mana kakak tak ada duit? Apa dah jadi? Kami tahu dia bekerja tetap, gaji pun besar juga. 

“Setelah pindah,  kami dapat tahu Kak Zee rujuk semula dengan suaminya. Sekali lagi kami terkejut. Tapi fikirkan untuk kebaikannya, kami sabar. Tak sampai dua tahun, sekali lagi Kak Zee mengadu pada emak nak pinjam duit sebab susah. 

“Kali ini emak terpaksa cerita pada kami, sebab dalam diam emak dah tak sukakan suami Kak Zee lagi. Tapi emak tak cerita pada kami rantai lehir dan gelang tangan emak pun sudah Kak Zee beri pada suaminya gadaikan. Yang kami sakit hati,kena  dah gadai baru emak cerita pada kami. Kalau belum, kami dah nekad akan bersemuka dengan suami Kak Zee biar apa pun terjadi. 

“Sejak itu abang nasihatkan emak, kalau emak sayangkan Kak Zee jangan bantu dia, sebab semakin dibantu kakak akan jadi semakin susah. Dalam diam abang buat siasatan (askar katakan). Akhirnya terbongkar suami Kak Zee buat bisnes kontrak elektrik, tapi tak menjadi. Kak Zee disuruh pinjam duit bank.

“Kak Zee bukan sahaja gadaikan tanah ayah dan barang emas emak, malah rumah pun kena lelong. Kereta Kak Zee kena tarik. Pendek kata, hidup kakak dikelilingi hutang. Kami tak tahu sama ada suaminya ada pinjam Along atau tidak. Jika ada, mampus. Kata abang, jika itu terjadi dia akan bertindak. 

“Puas saya dan Kak Ateh telefon dan nasihatkan kak Zee, malangnya apa yang kami nasihat semua dia ceritakan pada suaminya. Akibatnya kami dapat panggilan maut dari suami Kak Zee memaki hamun. Kami dituduh sengaja nak merosakkan rumah tangganya. 

Suami Kak Zee maki hamun, dia juga ceraikan kak Zee kerana beritahu masalah keluarga mereka kepada kami adik beradik.

“Apa yang menyedihkan kami emak dan ayah sering demam dan sakit kerana fikirkan masalah Kak Zee. Tapi kisah Kak Zee belum selesai. Satu masalah baru timbul, adik Sue juga bermasalah. Tak ada angin tak ada rebut, tetiba kami dapat tahu mereka bergaduh dan bercerai. Tambah sakit jiwa emak. Segalanya berpunca bila Sue dapat tahu suaminya buat hubungan dengan gadis sepejabatnya. 

“Suami Sue nafikan, tetapi ramai kawan Sue lihat sendiri mereka selalu berkonvoi motosikal. Sue tak ikut sebab anak masih kecil. Kata Sue, mereka nak nikah di sempadan. 

“Kami nasihatkan Sue, terimalah keadaan seadanya. Orang lelaki lagi ditahan lagi mencanak nafsunya nak kahwin. Sue minta abang jumpa dan nasihatkan suaminya. 

“Abang dalam diam beri kata dua kepada suami Sue, kalau tak mahu berubah, ceraikan Sue, kerana kami tak sanggup tengok Sue bermadu. Bila sah kena cerai, Sue melompat menyalahkan kami merosakkan rumah tangganya. 

“Sue tak boleh terima kenyataan dia kena cerai. Dia mahu suaminya putuskan hubungan dengan gadis tersebut. Tapi kata abang, orang tengah bercinta, dia tak makan nasihat, dia cuma ikut kehendak hatinya sahaja. 

“Saya perhatikan dua masalah adik beradik kami ini semuanya berpunca kerana takut kena cerai. Mereka sanggup buat apa sahaja walaupun merosakkan diri, macam Kak Zee, sanggup meminjam untuk suami. Sebenarnya semuanya boleh diatasi jika kita belajar berdikari dan tahu menilai dan menghargai diri sendiri.

“Jangan bodohkan diri semata-mata kerana sayangkan suami. Akibatnya akan ‘membunuh’ diri sendiri.’’ Itu cerita Norzana panjang lebar bagaimana hubungan mereka adik beradik membantu saudara mereka yang susah, namun tidak berhasil, sebaliknya menyakitkan hati mereka sendiri. 

Oleh: MAIMUNAH YUSOF

Sebarang pandangan dan luahan hati untuk DCCK sila E-mel [email protected] Atau telefon 019-2393419     

————————————————

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam