Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 dalam usaha untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan virus itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu.

Katanya, ini seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised), warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang (long-term care facilities), apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, kesemua perincian berhubung pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, Khairy pada satu majlis di Alor Setar memaklumkan pihaknya sedia memulakan program berkenaan mulai bulan depan.

Pada masa sama katanya, pemberian dos ketiga itu tidak bermaksud hasil pemberian dua dos vaksin yang diberikan sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia bagi meningkatkan sistem imun individu.

Setakat semalam, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan 24 Februari lalu berjaya memberikan dos lengkap kepada 78.2 peratus populasi dewasa di Malaysia.

Malah program vaksinasi remaja di beberapa negeri sudah dimulakan dengan Sarawak menjadi negeri pertama melakukannya.

Baca artikel berkaitan: Lebih 40 juta dos vaksin COVID-19 diberikan setakat semalam

Selepas Sarawak, remaja di Lembah Klang, Labuan akan terima vaksin

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim memberi suntikan vaksin AstraZeneca yang ke 1 juta di PPV WTCKL kepada Zamratulazmi Sarmadi,38, sambil diperhatikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri sekali). GAMBAR: Abd Razak Aid

Pemberian dos ketiga atau penggalak pula sudah dimulakan di kebanyakan negara Eropah sebagai usaha meningkatkan perlindungan daripada jangkitan virus itu.

Antara terawal memulakannya ialah Israel yang menyaksikan negara itu memberikan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas.

Baca artikel berkaitan: Israel sudah sebulan beri dos ketiga ketika penduduk Afrika baru 1.6 peratus divaksin

PM Singapura terima dos penggalak, terawal di rantau iniT

angguh pemberian dos penggalak sehingga akhir tahun – WHO

Di rantau ini, Singapura telah memulakan pemberian dos ketiga yang menyaksikan Perdana Menteri negara itu, Lee Hsien Loong mengambilnya dos tersebut baru-baru ini.

Bagaimanapun langkah Eropah dan negara maju lain memberi dos penggalak tidak dipersetujui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) susulan kadar vaksinasi rendah di sebahagian rantau khususnya Afrika.

Ini antara lain berpunca daripada monopoli vaksin oleh negara kaya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram