TUAH seorang pesawah apabila menerima sebuah motosikal sumbangan Ahli Parlimen Padang Terap setelah menjadi penerima vaksin COVID-19 ke 49,400 di daerah itu.

Mohd Isham Md. Isa, 44, berkata, dia amat terkejut menerima hadiah yang dianggap sangat bernilai itu kerana tidak langsung menjangkakannya.

Katanya, dia amat berterima kasih terhadap pemberian tersebut memandangkan motosikal miliknya sekarang yang dibeli secara terpakai sejak lima tahun lalu, sudah pun ‘uzur’.

“Sejak beberapa tahun lalu, memang saya ada mengumpul wang untuk membeli motor baharu tetapi tak sangka pula mendapat rezeki sebegini, hari ini.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk Seri Mahdzir Khalid. Motosikal lama akan tetap saya guna untuk ke sawah manakala yang baharu ini pula, akan saya guna untuk perjalanan agak jauh seperti ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) 2 di Alor Setar,” katanya.

Mohd. Isham yang masih bujang ditemui pemberita selepas menerima hadiah motosikal tersebut dari Mahdzir sendiri di Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang hari ini.

Sementara itu Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, sumbangan tersebut dibuatnya sebagai tanda meraikan kejayaan semua pihak dalam mencapai sasaran pemberian vaksin di daerah Padang Terap.

Katanya, angka 49,400 itu adalah jumlah penduduk berusia 18 tahun ke atas dalam Parlimen ini, yang layak divaksin berdasarkan bancian dilakukan pada 2010.

“Kita menghargai kehadiran rakyat di Padang Terap yang keluar beramai-ramai untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri masing-masing serta masyarakat sekeliling.

“Ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang berusaha keras untuk menjayakan program ini termasuk menjalankan program-program pandu lalu serta ‘outreach’ di kawasan kampung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, lebih 2,000 pelajar tingkatan empat dan lima akan menerima suntikan vaksin di daerah itu bermula esok.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram