Setelah dua tahun menyepi tanpa lagu baharu, penyanyi Ika Mustafa kini muncul dengan single baharu berjudul Puja.

Menurut Ika, lagu Puja sangat istimewa kerana dirakam sendiri di rumah disebabkan situasi pandemik yang sedang melanda.

“Selesai rakaman, hasil tersebut terus diberikan kepada Audi Mok, Shazee Ishak dan Tysha Tiar yang juga merupakan komposer dan penulis lirik serta penerbit lagu tersebut untuk ditambah baik untuk menjadikan lagu yang lengkap.

“Sememangnya pandemik ini benar-benar menguji kita semua namun dalam masa yang sama membuatkan kita menjadi lebih kreatif. Ika sudah lama menunggu untuk melancarkan lagu baharu, namun asyik terhalang.

“Jadi, bila dapat peluang yang sebegini dibantu dengan teknologi yang maju sekarang ini membuatkan semuanya menjadi kenyataan.

“Ika harap lagu Puja ini berjaya menambat hati semua pendengar dan terus memberikan sokongan kepada Ika dan lagu ini,” katanya yang pernah muncul dengan single Damaikanlah pada tahun 2019.

Lagu Puja boleh didengar di semua pelantar digital manakala  lirik video rasmi boleh ditonton di saluran Youtube Alternate Records & Talents.