INI kisah Supaat. Supaat benci sangat pada kucing. Pantang nampak kucing, mesti kucing tu dihalaunya. Tak kisahlah kucing tu kurus kering ke, empat hari tak makan ke, takdanya Supaat nak kesian. Malah diterajangnya lagi kucing tu. Isy, isy, isy… tak patut betul Supaat ni.
Ditakdirkan kisahnya, Supaat bertemu jodoh dengan Salimah, seorang perempuan yang sukakan kucing. Sebelum kahwin dengan Supaat, Salimah sudah membela seekor kucing. Nama kucing tu HITAM. Bulunya hitam, ekor kontot, suka melendih-lendih.
Dari hari ke hari, bertambah benci Supaat bila melihat Hitam, kucing peliharaan isterinya itu. Nak pulak si Salimah sangat memanjakan Hitam, hinggakan makan minum Hitam didahulukan berbanding dia dan Supaat. Si Hitam pun dibawa tidur sekatil. Apa lagi, makin mengada-ngadalah si Hitam.
Paling Supaat tak tahan, masa makan Hitam suka meleset-leset ke kakinya. Pantang lepa, Hitam curi ikan gorengnya. Sudahlah begitu, kadang-kadang si Hitam berak di depan tangga rumah. Supaat angin satu badan. Benci betul dia dengan Hitam.
Suatu hari, Supaat buat satu rancangan untuk membuang si Hitam.
“Siap kau Hitam, siaaapppp!” kata Supaat sambil mengepal-ngepal penumbuknya.
Saat yang ditunggu-tunggu pun tiba. Suatu pagi, ketika isterinya sedang sibuk membasuh, diam-diam Supaat menangkap si Hitam, lalu disumbatnya dalam karung beras.
Tanpa berlengah, Supaat terus merempit motor kapcainya. Jauh sungguh dia merempit, lebih kurang 15 kilometer barulah dihumbannya Hitam tanpa belas kasihan.
Dengan hati gembira, baliklah dia ke rumah sambil menyanyi-nyanyi lagu ‘Bernafas Dalam Lumpur’, lagu kumpulan Wings.
Tapi rasa gembira tu hanya sementara belaka sebab bila tiba di rumah, Supaat lihat Hitam ada tertonggok di depan pintu. Sudahlah begitu, si Hitam siap bergolek dan melenting-lenting seperti mentertawakannya.
Sakitnya hati Supaat tak dapat digambarkan. Esoknya, Supaat meneruskan rancangan jahatnya. Kali ini lebih jauh, 25 kilometer dari rumahnya dia buang si Hitam. Tetapi seperti semalam, kucing itu berjaya mendahuluinya pulang ke rumah. Pelik!
Supaat tidak putus asa. Alang-alang seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!
Maka nekadlah Supaat, kali ini dia bukan sahaja hendak buang Hitam lebih jauh tapi dibawanya kucing itu pusing-pusing dahulu supaya si Hitam jadi confuse, bak kata orang putih.
Habis semua jalan ditempuh, yang lurus, yang bengkok, segala selekoh, segala kampung, kedai, kebun dan estet habis diciluknya, dan akhirnya Hitam dibuang dalam belukar.
Setengah jam kemudian, telefon bimbit Salimah berdering. Rupa-rupanya Supaat menelefon isterinya itu. Suara Supaat penuh dengan debaran.
Supaat : “Ayang, Ayang…Hitamm ada kat rumah tak?”
Salimah : “Eh, tetiba abang telefon tanya Hitam ni kenapa?”
Supaat : “Jawab je la abang tanya ni. Hitam ada ke tidak kat rumah tu?”
Salimah : “Ada je dekat depan pintu tu ha. Kenapa?”
Supaat : “Panggil dia kejap!”
Salimah : “Isy, dah gila ke abang ni?”
Supaat : “Panggillah… abang nak tanya dia, macam mana nak balik ke rumah. Abang sesat ni…”
😂😂😂

___________
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare