Oleh: MUHAMMAD ADI PUTERA

PANDANGAN Prof. P.Ramasamy dalam Focus Malaysia pada 18 September lalu  yang menyangkal kenyataan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang bahawa tiada elemen rasis dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan kenyataan yang tidak wajar.

Adakah Ramasamy tidak sedar bahawa Panglima TLDM pertama adalah seorang bukan Melayu, Laksamana Muda (B) Tan Sri  K.Thanabalasingam (1967 hingga 1976)? Sememangnya kenyataan Affendi adalah tepat dan bukanlah cerita dongeng sepertimana dakwaan Ramasamy .

Mengimbau sejarah ATM, sudah pasti ramai dalam kalangan bukan Melayu telah berjaya melakar sejarah sebagai panglima dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM (Darat, Laut dan Udara). Terlalu ramai untuk disenaraikan. Justeru disarankan Ramasamy untuk membuat semakan sebelum membuat apa-apa kenyataan yang dilihat tidak berasas.

Permasalahan utama ialah dalam kalangan anak muda bukan Melayu menganggap kerjaya ATM sebagai pilihan terakhir.

Oleh itu Ramasamy disaran untuk melaksanakan kempen agar lebih ramai bukan Melayu menyertai ATM demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. ATM sentiasa memandang tinggi kepada bukan Melayu yang bakal dan sedang berkhidmat tidak terkecuali memberi pengiktirafan tertinggi kepada veteran bukan Melayu yang telah berkorban serta mencurahkan bakti kepada negara.

Peluang peningkatan kerjaya termasuk kenaikan pangkat dalam ATM tidak pernah berlandaskan kepada warna kulit, bangsa dan agama. Amalan kesamarataan berteraskan prosedur dan disiplin kekal menjadi agenda utama pemimpin tertinggi ATM dan panglima perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.

Adalah diharap agar anak muda bukan Melayu tidak terpengaruh dengan sebarang pandangan tidak benar mengenai ATM.  Jangan sesekali tawar hati untuk menyertai ATM. Ketahuilah ATM kekal menjadi tonggak dan benteng pertahanan negara malah tiada langsung elemen rasis dalam ATM.

Semangat kekitaan dan jaringan persahabatan yang mampan tanpa mengira bangsa sentiasa diberi tumpuan oleh ATM sejak dari awal latihan ke arah mewujudkan satu angkatan bersepadu dalam menghadapi pelbagai dimensi ancaman.

ATM sentiasa berharap agar ramai belia terutamanya daripada kalangan bukan Melayu untuk menyertai perkhidmatan ATM dalam siri pengambilan anggota akan datang. Jangan ambil peduli dengan kenyataan yang tidak berlandaskan fakta.

Sertailah ATM demi menghasilkan produk keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.

  • Penulis adalah penganalisis keselamatan dan sosial. Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.