Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan (tengah) bersama Pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengadakan Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di Kilang Gardenia Bakeries, Puchong Jun lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBARANG keputusan untuk membawa masuk pekerja asing termasuk pembantu rumah asing akan diumumkan oleh kerajaan secara rasmi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ini selepas perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan kementerian lain yang berkaitan.

“Saya ingin mengingatkan para majikan bahawa tiada kemasukan pekerja asing ke negara ini termasuk pembantu rumah asing dari negara-negara sumber sejak pelaksanaan Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020 susulan pandemik COVID-19.

“Lanjutan itu, kerajaan memutuskan bahawa tiada kemasukan bagi kedua-dua kategori pekerja asing tersebut sehingga 31 Dis 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Saravanan berkata, agensi pekerjaan swasta yang berdaftar dan diberikan lesen oleh KSM dinasihat tidak membuat sebarang kenyataan atau pengiklanan yang mengelirukan majikan berhubung kemasukan pembantu rumah asing dari negara sumber.

Katanya, umum mengetahui majoriti pembantu rumah asing di negara ini adalah dari Indonesia dan ketika ini KSM masih di peringkat rundingan bersama pihak Indonesia bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengambilan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) yang telah tamat pada 30 Mei 2016.

Beliau berkata sehingga Ogos 2021, terdapat seramai 92,481 pembantu rumah asing di negara ini dan daripada jumlah ini 64,181 adalah pengambilan PDI.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram