Pelakon dan penyanyi, Tya Ariffin kini mengorak langkah besar dalam karier seni apabila bergelar pengacara menerusi program bual bicara dalam talian, Bersama Tya.

Program yang bersiaran secara langsung setiap Isnin hingga Rabu, pukul 10 malam di Instagram Live sejak 14 Jun lalu itu dalam masa sama memberi ruang untuk dirinya membiasakan norma baharu bekerja dari rumah.

Malah pandemik COVID-19 yang sudah lebih setahun melanda dunia juga turut menjentik semangat ibu kepada Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa berkongsi hal positif dan suntikan inspirasi menerusi program berkenaan.

“Dalam membiasakan norma baharu sekalipun berdepan kekangan tertentu di era pandemik ini, kenapa tidak saya manfaatkan platform media sosial seperti Instagram dan YouTube.

“Sebenarnya, dulu di negara kelahiran sendiri, Indonesia, saya pernah juga menjadi penyampai radio. Cuma tak sempat berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan.

“Untuk tugasan program ini, saya banyak melakukan semua kerja sendirian. Awalnya pasukan kerja saya yang menguruskan set program, tetapan gajet, bahan grafik dan sebagainya. Lagi pun saya sudah terbiasa buat ‘live’ di Instagram, jadi tidak canggung. Selepas itu, saya uruskan sendiri termasuklah menata rias diri, menentukan pakaian yang mahu dipakai. Malah tetamu atau panel jemputan pun saya sendiri yang undang.

“Lagipun mudah kerana saya bersiaran di rumah. Anak pula pukul 9 malam sudah masuk tidur. Jadi masa ‘live’ saya tak diganggu mereka. Pembantu rumah hanya ‘standby’ tekan butang ‘live’ di telefon bimbit saja,” katanya.

Setakat ini program terbabit Sudan lebih 30 episod bersiaran yang kemudiannya turut dikongsi di pelbagai platform termasuk di ‘feed’ Instagram dan dimuat naik di saluran YouTube Tya Arifin.

Tidak hanya mengundang rakan artis dan personaliti di Malaysia, Tya atau nama penuhnya, Nurtria Wulandari Arifin ini turut mengundang selebriti dari Indonesia.

Antara personaliti yang pernah diundang ialah ibu mertuanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tengku Zawiyah, Datin Nina Ismail Sabri dan Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.

“Saya fikir ketika pandemik ini ramai yang bergelut. Malah terlalu banyak hal negatif di media sosial. Setidak-tidaknya perkongsian inspirasi dan positif daripada tetamu jemputan boleh menyebarkan aura baik.

“Isu yang dikupas juga sangat dekat dengan kita. Malah, ada yang bersifat semasa dan terkini. Saya tidak membataskan hanya tetamu jemputan di kalangan wanita saja, tetamu lelaki pun ada. Dulu perkongsian atau motivasi saya mungkin terbatas di kalangan usahawan.

“Tapi sekarang ini, sesiapa saja yang mengikuti saya di media sosial boleh mendapat perkara sama. Malah, saya juga ada kumpulan telegram Tya Arifin. Menerusi saluran itu banyak juga perkara yang dikongsikan…boleh juga ke Instagram @bersamatya,” katanya yang meminati pengacara terkenal Ellen Degeneres dan Mata Najwa.

Dalam pada itu, isteri kepada Asyraf Khalid itu berharap suatu hari nanti dapat mengundang wanita berpengaruh termasuk Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai tetamu jemputan.

“Dapat jemput Tun Dr Siti Hasmah jadi tetamu, saya pasti akan rasa bangga. Begitu juga dalam kalangan figura wanita yang menjadi kekuatan pemimpin di Indonesia.

“Malah saya bercita-cita mengundang tokoh pemimpin dan motivasi lain selepas ini,” ujarnya yang turut mengusahakan perniagaan jus kesihatan, Mutyara.

Di akhir bicara, Tya tak lepas ditanya mengenai kerinduannya terhadap keluarga di kampung halaman selepas dua tahun tidak bersua.

“Bab rindu ini sebenarnya bagai sudah kering air mata. Kerinduan itu terlalu berat. Tapi apa daya kita hendak melawan ujian pandemik ini.

“Nak rentas negara, bukan perkara mudah…saya reda,” katanya yang sudah lengkap dua dos vaksin.