GAMBAR: Abd Razak Aid

SUNTIKAN vaksin COVID-19 adalah mandatori ke atas semua 14,500 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini 90 peratus daripada 14,500 anggota bomba sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Katanya, baki 10 peratus angoota JBPM yang belum berbuat demikian akan menunaikan kewajipan itu dalam masa terdekat.

Jelas beliau, vaksin COVID-19 adalah mandatori sebagai perlindungan diri daripada jangkitan memandangkan tugasan bomba sebagai ‘first responder’ dalam sebarang operasi kecemasan.

“Selain memastikan semua warga penyelamat sudah mendapat dua dos suntikan, pada masa yang sama kita mahu mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu memakai PPE (peralatan perlindungan diri) yang lengkap.

“Kita juga memantau tahap kesihatan anggota dengan membuat ujian saringan RT-PCR kepada warga penyelamat mengikut tempoh tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi dan menyempurnakan Majlis Pemakaian Tanda Pangkat kepada tujuh Pegawai Bomba Tinggi II (Gred KB 26) di Ibu Pejabat JBPM Kelantan hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Udara JBPM Nazili Mahmood dan Pengarah JBPM Kelantan [email protected] Madasin.

Ditanya mengenai jangkitan COVID-19 dalam kalangan anggota bomba, beliau berkata seramai 125 pegawai dan anggota disahkan positif (kategori satu dan dua) dan menjalankan kuarantin kendiri di rumah.

Menurutnya kebanyakan anggota yang positif dikenal pasti menerima jangkitan bukan ketika bertugas sebaliknya penularan daripada komuniti.

“Mulai Mac tahun lalu hingga sekarang, warga JBPM dalam pemantauan (PUS) atau dalam siasatan (PUI) dijangkiti bukan daripada tugas tetapi melalui komuniti , misalnya pasangan yang bekerja sebagai jururawat atau guru,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram