Soalan :

Seorang pakar motivasi pernah berkata jika seseorang wanita mempunyai kisah silamnya semasa sebelum berkahwin tetapi kisah tersebut tidak dijelaskan atau diberitahu kepada suaminya (selepas berkahwin); dari konteks Islam, rahsia seperti ini tidak wajar didedahkan kepaada suami bimbang nanti suami akan curiga atau memberi anggapan yang salah terhadap isterinya. Malah si isteri tadi telah pun bertaubat dan orang yang bertaubat ibaratnya seperti kain putih.

Manakala mengikut aliran barat pula, rahsia atau kisah silam itu patut diluahkan dan berterus terang kepada suami kerana aspek komunikasi dua hala sangat penting dalam perhubungan suami isteri. Maknanya tidak ada rahsia dalam rumah tangga.

Wajarkah si isteri tadi mendedahkan mengenai kisah silamnya yang pastinya jika diceritakan pada suami bakal menjejaskan rumahtangga mereka.

Jawapan :

Orang yang paling tepat menjawab persoalan ini ialah si isteri yang sedang menghadapi masalah ini. Dia boleh memilih jalan barat atau jalan Islam. Yang penting sekarang ialah dia melihat keadaan dan situasi suaminya adakah bercerita lebih baik atau lebih memudaratkan. Jika dengan bercerita suami akan lebih yakin dan dapat mengeratkan rumahtangga maka lakukanlah sebaliknya jika bercerita menyebabkan keadaan bertambah runcing maka simpanlah untuk diri. Nabi saw memberi panduan apabila kita berdepan dengan dua perkara, dua persimpangan dan dua pilihan maka pilihlah yang mudah dan kurang mudaratnya.