PENYANYI Zizi Kirana sah bergelar isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin dengan hanya sekali lafaz pada pukul 10.40 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd. Hamid dengan berwakil walikan bapa Zizi, Mad Tahil di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur .

Majlis pernikahan berkenaan diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.

Zizi atau Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil,36, menerima mas kahwin senaskah Al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan.

Sementara itu, nilai wang hantaran pula dirahsiakan.

“Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar. Sejujurnya, hari Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah.

“Semuanya dilakukan saat-saat akhir. Syukurlah pernikahan kami ini dipermudahkan. Doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke Jannah.

“Insya-Allah kami merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Disember depan,” kata Zizi.

Zizi dan Yusuf mula berkenalan ketika sama-sama menjayakan program All Together Now Malaysia (ATNMY) pada awal tahun ini.

Selepas dua bulan mengenali hati budi, mereka mengambil keputusan untuk meneruskan hubungan ke fasa yang lebih serius iaitu perkahwinan.

“Kali pertama kenal Yusuf semasa rakaman program ATNMY, ketika itu kami belum bertegur sapa, masih belum ada perasaan… sehinggalah selepas raya Aidilfitri yang lalu, dia menghubungi saya dan kami mula berkawan.

“Saya selesa berkawan dengan Yusuf dan nampak dia ikhlas dalam perhubungan ini… hujung bulan Ogos kami rancang untuk terus berkahwin. Alhamdulillah keluarga pun merestui hubungan kami ini, jadi rasanya tak perlulah nak tunggu lama-lama.

“Sejujurnya sepanjang perkenalan ini, kami hanya berjumpa beberapa kali sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Kami lebih banyak berkomunikasi menerusi telefon bimbit dan media sosial,” luahnya.

Disoal tentang perancangan menimang cahaya mata, Zizi dan Yusuf bersedia andai dikurniakan rezeki zuriat dalam masa terdekat.

“Kalau ada rezeki anak, kami terima seadanya. Kalau ada dua anak pun dah cukup.

“Tiada perancangan bulan madu sebab Isnin ini saya dah bekerja macam biasa… cuma kita ada rancang untuk tunaikan umrah bersama selepas sempadan negara dibuka,” tuturnya.