TEKA-teki mengenai berat badan penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi yang dilihat semakin menyusut sejak kebelakangan ini akhirnya terjawab apabila dia mendedahkan ia berpunca daripada satu benjolan di bahagian kiri payudaranya.

Ujar Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, benjolan bersaiz dua sentimeter tersebut telah menyebabkan dia mengalami serangan panik atau kebimbangan buat kali kedua dalam dirinya.

“Apabila dapat tahu fasal benjolan itu, saya mula fikir bukan-bukan. Ditambah dengan situasi pandemik ketika ini, serangan panik datang secara tiba-tiba sehingga berat badan turun mendadak dan tiada selera makan.

“Saya hanya lebihkan meminum air masak, air manis saya ‘takut’ nak minum. Dalam masa sama, saya turut memikirkan nasib diri sama ada kontrak sebagai penyampai radio di Media Prima Network (kini dikenali Media Prima Audio) akan disambung atau sebaliknya,” katanya kepada URTV.

Kata Haiza, dia pernah mengalami serangan panik sekitar 2016 disebabkan bebanan kerja yang memerlukan dia berulang-alik dari ibu negara ke Johor Bahru.

“Ikutkan saya pernah kena serangan panik sekitar 2016…tak tahu apa punca. Mungkin sebab setahun sebelum itu saya penat dan terbeban kerana perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru bertugas sebagai penyampai radio di Best FM selain komitmen program realiti Gegar Vaganza musim kedua,” ulas penyampai radio Buletin FM ini.

Bagaimanapun, isteri kepada Norhanapfe Omar memaklumkan keadaannya kini telah kembali sihat, malah benjolan di tubuhnya juga sudah lenyap.

“Julai lalu, saya bertemu pakar kesihatan di sebuah hospital. Saya membuat pemeriksaan ujian mamogram dan ultrasound. Doktor juga sudah menerangkan apa yang menyebabkan benjolan itu terjadi dan proses rawatan.

“Alhamdulillah, saya tidak perlu lakukan rawatan susulan, malah doktor memaklumkan benjolan yang wujud itu akan hilang dengan sendirinya. Syukurlah, kini benjolan itu pun sudah tiada.

“Dalam situasi yang dialami, sokongan suami, ibu bapa, adik-beradik, keluarga menjadi semangat dan kekuatan saya. Doa mereka sangat bermakna saat saya berdepan dengan ujian,” ulasnya yang merupakan calon awal kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34.

Dalam pada itu, pengalaman sakit yang dialami itu menjadi asbab dan kekuatan untuk mengendalikan segmen Santai Siang Bersama Haiza di Buletin FM yang turut mengupas isu kesihatan.

Selain kesihatan, segmen yang turut diselangi dengan hiburan dan lagu itu juga merangkumi informasi berkaitan gaya hidup, ibu bapa, tips ekonomi, pemerkasaan dan kerohanian.

Haiza mengendalikan segmen tersebut setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 10 pagi hingga 3 petang.

“Dalam apa situasi, kesedaran sangat penting. Jangan biarkan sakit memudaratkan kesihatan tubuh badan, baru nak bertindak.

“Semua wanita digalakkan untuk berjumpa doktor jika ada kemusykilan. Jangan cepat buat andaian. Ia akan mendorong kita fikir bukan-bukan.

“Tambah pula setiap Oktober, kita meraikan program kesedaran kanser payudara atau Pink October. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati,” ungkapnya.

Haiza turut menitipkan pesanan kepada semua agar sentiasa menjaga kesihatan ditambah lagi dengan faktor peningkatan usia.

“Ditambah dengan peningkatan usia, bab kesihatan jangan diambil mudah. Jaga makan dan amalkan gaya hidup sihat.

“Berat badan saya pun mula naik…bila hati sudah tenang dan kembali berselera. Mulalah nak ‘balas dendam’ makan apa sahaja. Tapi kenalah seimbangkan dengan hal lain termasuk fokus bekerja,” akhirinya.