Dr Radzi Md Jidin bersama Khairy Jamaluddin menyaksikan Dr Noor Azmi Ghazali memberi suntikan kepada pelajar pada majlis pelancaran PICK Remaja di SMK Presint 8 (1) Putrajaya hari ini./ Gambar FB Dr Radzi Jidin

PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilancarkan di SMK Presint 8 (1) melibatkan 323 pelajar berusia 16 dan 17 tahun pagi ini.

Pelancaran program itu disempurnakan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Pada majlis itu, Timbalan Menteri Kesihatan 1 yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bertindak sebagai antara vaksinator.

Menurut Dr Radzi, PICK Remaja adalah program vaksinasi untuk kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Katanya, seramai 323 murid berusia 16 dan 17 tahun dari SMK Putrajaya Presint 8 (1) menjadi kumpulan pertama menerima vaksin menerusi program PICK Remaja ini.

Ujar beliau, secara keseluruhan, terdapat seramai 377,591 murid berumur 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara.

“Alhamdulillah, proses vaksinasi pagi ini berlangsung dengan teratur dan tersusun. Sejurus tiba, murid yang ditemani ibu bapa/penjaga perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Baca artikel berkaitan: Dos ketiga akan mula diberi, keutamaan kumpulan berisiko – PM

CITF-A sasar 60 peratus remaja terima satu dos vaksin November

Jelas Dr Radzi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama dengan KKM dan CITF bagi membantu pendaftaran murid sekolah untuk tujuan vaksinasi serta mengenal pasti sekolah-sekolah untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) kepada murid sekolah.

“KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan ini.

“Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah. KPM komited melakukan yang terbaik,” jelasnya.

Sementara itu, Khairy berkata, bekalan vaksin COVID-19 bagi program pemberian dos ketiga (dos penggalak) dan pelaksanaan PICK Remaja adalah mencukupi.

“Dari segi bekalan insya-Allah cukup,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran PICK Remaja.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram