langkawi
LANGKAWI menjadi tumpuan rakyat tempatan yang telah lama tidak dapat melancong kerana COVID-19.

DUA orang wanita yang berhasrat melancong ke Pulau Langawi diarahkan berpatah balik selepas polis mendapati suntikan dos vaksin COVID-19 yang diambil mereka belum mencukupi tempoh matang 14 hari.

Wanita berusia 32 dan 35 tahun itu dikesan melakukan kesalahan terbabit ketika pemeriksaan polis ke atas semua penumpang dari Kuala Perlis yang baharu tiba di Terminal Feri Kuah pada 12 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pemeriksaan anggota polis bertugas di balai ketibaan Terminal Feri Kuah mendapati kedua-dua penumpang terbabit menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Bagaimanapun, kami mendapati tempoh matang suntikan dos kedua diterima mereka belum mencapai tempoh 14 hari seperti ditetapkan iaitu kurang tiga hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shariman berkata, berikutan itu kedua-dua wanita terbabit dirujuk kepada Pegawai Perubatan yang berada di lokasi pemeriksaan bagi melakukan pengesahan status vaksin mereka.

BERITA BERKAITAN Pelancong ke Langkawi positif COVID-19, boleh tangguh tiket, penginapan – Menteri

Beliau berkata, susulan itu, kedua-duanya diarah berpatah balik ke Kuala Perlis dengan menaiki feri kenderaan dan penumpang dari Dermaga Tanjung Lembung pada 2 petang semalam.

Mengulas mengenai projek rintis gelembung pelancongan Langkawi, Shariman berkata, pihaknya belum mengeluarkan sebarang kompaun ke atas pelancong kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga hari ini.

“Sepanjang tempoh pemantauan pematuhan SOP gelembung pelancongan yang memasuki hari kelima hari ini, polis belum mengeluarkan kompaun ke atas pelancong sejak Khamis lalu.

“Bagaimanapun, semua pelancong yang ingin masuk dan ketika berada di Langkawi dinasihatkan agar terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak tindakan diambil,” katanya. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram