K Devaaswin, 24, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

LELAKI yang memandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) secara melawan arus sehingga merempuh kenderaan dinaiki dua remaja di Lebuh Raya Persekutuan dekat Shah Alam 12 September lalu didakwa melakukan jenayah bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan ke atas lelaki itu yang menyebabkan kematian dua remaja tersebut berlangsung di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Tertuduh, K Devaaswin, 24 mengangguk faham terhadap dua pertuduhan membunuh yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Devaaswin yang merupakan pegawai pemasaran dituduh menyebabkan kematian Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19 dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 1.50 pagi, 12 September 2021 di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang menghala ke Kuala Lumpur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili Peguam Pushpa Ratnam dan R Thanuja.

Baca artikel berkaitan: Reman lelaki pandu lawan arus hingga dua remaja maut dilanjut

Dua maut dilanggar pemandu positif dadah lawan arus

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan semula dalam tempoh sebulan bagi menunggu laporan kimia, bedah siasat, laporan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) serta lain-lain dokumen bagi tujuan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira Aeroback dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat roda (4×4) jenis Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus.

Ujian air kencing dilakukan ke atas tertuduh ketika itu didapati dia berada di bawah pengaruh ganja.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram