Hari Malaysia dipilih sebagai satu tarikh untuk mempersembahkan rilisan terbaru hasil kolaborasi dua generasi rock tanah air iaitu Pitahati dan Ito Blues Gang menerusi lagu Khatulistiwa.

Lagu yang popular pada 1983 itu merupakan karya asal daripada kugiran lagenda “rock blues” tanah air iaitu Blues Gang.

Lagu yang pernah menjadi kontroversi ini suatu ketika dahulu kini disusun kembali muzik dan liriknya mengikut peredaran masa dan zaman.

Bermula dengan mengumpulkan playlist lagu-lagu dari kugiran-kugiran tempatan yang menjadi inspirasi karya-karya Pitahari sehingga mereka terdetik untuk menjadikan lagu Blues Gang ini sebagai sebuah lagu “cover” pada persembahan mereka.

Tidak terjangka lagu ini masih evergreen yang mana selepas itu sering menjadi permintaan dan bualan peminat Pitahati sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk membuat sebuah muzik video hasil kolaborasi pihak syarikat rakaman Luncai Emas dan Siakap Keli beberapa tahun lalu.

Nafas lagu Khatulistiwa ini seperti ada sentuhan magis apabila pada tahun ini sekali lagi diberi peluang untuk dijadikan sebuah lagu tema reunion pelajar-pelajar Sekolah Tengku Abdul Rahman (STAROBW), Ipoh.

Pitahati dan Ito bersama-sama menghidupkan kembali kegemilangan lagu Khatulistiwa

Menyentuh mengenai penggambaran yang berkonsepkan santai berinspirasikan tema sebuah kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa dan kaum membawa Pitahati, Ito Blues Gang dan team penggambaran Motion Scientist memilih negeri Ipoh sebagai lokasi utama.

Perjalanan yang mengambil masa hampir tiga hari itu membawa mereka ke kawasan santai rakyat berbilang kaum seperti di Old Town Ipoh, Concubine Lane, Stesen Keretapi, Pasar Loken, Padang Ipoh, Restoran New Hollywood, Super Kinta, Stesen Bas Medan Kid, dan Sarang Art Hub, Tanjung Malim.

Perjalanan ini amat bermakna apabila memperlihatkan dua generasi yang berbeza (Pitahati & Ito Blues Gang) bekerjasama dengan penuh komitmen.

Selain bekerja, Ito juga tidak lokek berkongsi nasihat dan pengalaman kepada mereka.

“Saya suka melihat lagu-lagu lama diangkat dan diberi nafas baru dan saya suka tengok anak-anak muda guna cara ini untuk belajar dan mendekati orang lama. Barulah industri akan lebih bervariasi.

“Saya amat berbesar hati dan berharap lagu versi baru ini boleh memberi semangat buat kali kedua kepada seluruh rakyat Malaysia”, kata Ito.

Seluruh penggambaran berlangsung dengan lancar hasil kerjasama teman-teman seperjuangan di Ipoh, Perak iaitu Bittersweet, Lokein Ipoh, dan keluarga Sarang Art Hub, Tanjung Malim.