Suatu hari Urwah bin Zubair dan anaknya pergi ke Damsyik, Syria untuk mengunjungi Khalifah Walid ibnu Abdul Malik. Di dalam perjalanan, beliau ditimpa satu penyakit iaitu kakinya membengkak, dan apabila ini berlaku, kesakitan serta bengkak itu akan menyerang ke bahagian-bahagian lain.

Perjalanan dari Madinah ke Damsyik itu memakan masa tujuh hari, Urwah terpaksa menanggung kesakitan tersebut yang makin hari makin membisa. Dari pergelangan kaki, kini kesakitan menjalar ke paha pula.

Sesampainya di istana khalifah, Amirul mukminin segera memerintahkan tabib dan tabib memeriksa kaki serta paha Urwah yang telah membengkak itu.

“Kaki tuan mesti dipotong secepat mungkin, kalau tidak penyakit ini akan menyerang anggota badan yang lain pula. Ini boleh menyebabkan kematian,” kata tabib.

Adakah Urwah bersedih?

Tidak. Perkhabaran tabib itu juga tidak menyebabkan dia gelisah dan takut. Urwah sebaliknya menerima berita buruk itu dengan sabar dan reda.

Urwah tidak bersedih mendengar kata-kata tabib untuk memotong kakinya.

Tabib memberi cadangan, “Bagaimana kalau kami berikan tuan ubat penahan sakit dan ubat supaya tuan terlena, agar nanti tidak sedar serta tidak berasa sakit semasa kami memotong kaki tuan?”

Urwah enggan. “Jangan! Aku yakin tiada seorang pun yang beriman dengan Allah mahu meminum sesuatu yang akan menghilangkan akalnya, kerana jika hilang akal, maka sudah pasti dia akan lupa kepada Allah S.W.T.. Tetapi jika tuan mahu memotong kakiku, lakukanlah ketika aku sedang mendirikan solat supaya aku tidak berasa sakit.”

Setelah Urwah berdiri mengerjakan solat dengan khusyuk sebagaimana biasa dilakukannya, maka sekumpulan tabib pun memotong kakinya. Urwah tetap juga berdiri biarpun kakinya dibelah dan dipotong hingga bercucuran darah. Dia seperti tidak berasa sakit, malah badannya langsung tidak bergerak.

Selesai solat, Urwah memegang kaki kanannya yang telah putus itu. Dia membalik-balikkan kakinya, kemudian berkata, “Ya Allah, Engkau tahu bahawa aku sama sekali tidak pernah melangkahkan kakiku ini ke tempat yang membawa kepada kehinaan dan kemaksiatan.”        

Ujian besar itu belum berakhir…

Pada malam kaki Urwah dipotong, anaknya pergi ke kandang kuda. Ketika masuk, tiba-tiba dia ditendang oleh haiwan tersebut. Anak Urwah itu cedera parah, dia meninggal dunia di situ juga.

Berita kematian anak kesayangannya itu betul-betul menguji kesabaran Urwah. Ditimpa dua musibah besar dalam satu waktu, boleh saja menyebabkan seseorang itu menangis dan hilang pertimbangan. Tapi tidak Urwah. Dia tetap tenang, reda dengan qada dan qadar Ilahi.

Semasa Khalifah Walid mengadakan majlis khas untuknya kerana melalui dua ujian besar itu, Urwah berkata, “Ya Allah, segala puji bagi-Mu, aku mempunyai empat anggota kaki dan tangan, kemudian engkau ambil satu, kini hanya tinggal tiga.

Apa yang kita ada semua milik-Nya. Sampai masa, ia akan kembali kepada Yang Maha Pencipta. Urwah laluinya dengan rasa syukur dan memuji Ilahi.

“Dan aku mempunyai tujuh anak, kemudian engkau ambil satu, kini mereka tinggal enam orang. Engkaulah Tuhan yang memberi penyakit setelah memberi kesihatan, dan Engkaulah Tuhan yang mengambil apa yang telah Engkau berikan. Segala puji bagi-Mu, hanya kepada Engkau ya Allah.”

Dengan kata-kata syukur dan pujian kepada Allah, Urwah menyambut orang ramai yang datang ke majlis tersebut. Malah dia sempat melagukan bait-bait syair, yang antara lain berbunyi, “Demi usiamu aku tidak pernah menempatkan telapak tanganku untuk keraguan, kakiku belum pernah menempuh ke jalan yang keji, demikian pendengaranku dan pandanganku pun tidak memimpikan kepada kemaksiatan, demikian pula akal fikiranku dan seterusnya anggota-anggota lain.”

          *        *        *        *        *       

Urwah bin Zubair adalah anak kepada sahabat nabi, Zubair al-Awwam, manakala ibunya ialah Asma’ binti Abu Bakar, iaitu adik kepada Sayidatina Aisyah r.a, Ummul mukminin. Diceritakan bahawa Urwah tidak pernah meninggalkan sembahyang tahajud kecuali pada malam kakinya dipotong.

————————————————————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam