Motosikal ditunggang seorang peragut yang dilangar suami mangsa setelah melarikan beg tangan milik isterinya dalam satu kejadian di Kampung Binjai dekat Kota Bharu, Kelantan, semalam.

AKSI nekad seorang suami melanggar motosikal ditunggang seorang peragut berjaya menggagalkan cubaan suspek melarikan beg tangan milik isterinya dalam satu kejadian di Kampung Binjai dekat Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, isteri lelaki berkenaan baru sahaja turun dari sebuah bas ekspres dan menunggu suaminya datang menjemputnya di tepi jalan persimpangan Kedai Piah.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, secara tiba-tiba, datang seorang lelaki menunggang motosikal terus meragut beg tangan mangsa yang baru sampai dari Negeri Sembilan.

Katanya, suami mangsa yang kebetulan tiba di tempat kejadian kemudian bertindak melanggar motosikal suspek dengan kereta yang dipandunya namun lelaki itu cuba melarikan diri.

“Selepas itu berlaku pergelutan antara suspek dan suami mangsa, sebelum suspek berjaya ditahan dengan bantuan dua orang awam yang melalui di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurut Abdul Rahim, mangsa wanita tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala suaminya pula hanya luka di telinga kiri ekoran pergelutan dengan suspek.

Beliau berkata, ekoran kejadian berkenaan, suspek berusia 29 tahun itu luka di bahagian tangan dan lutut, lalu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Katanya, hasil pemeriksaan beg pinggang milik suspek yang berasal dari Pulai Chondong, Machang itu turut menemui satu paket lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah.

“Selelas ujian saringan dibuat, mendapati suspek positif dadah jenis Methampethamine disamping memiliki 14 rekod lampau bersabit dadah dan jenayah.

Tambahnya, permohonan reman telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.