Pelakon Ayda Jebat selamat melahirkan bayi perempuan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur pukul 7.07 malam tadi.

Khabar gembira itu pastinya dikongsikan sendiri oleh suaminya iaitu pengacara Nabil Mahir.

Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad Mahir,33, bersyukur apabila proses pembedahan bagi melahirkan bayi sulung dipermudahkan.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Ayda selamat melahirkan anak pada jam 7.07 malam seberat 2.77 kilogram,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram siang tadi, Ayda berkongsi kepada semua bahawa dia bakal melahirkan bayi sulungnya secara pembedahan seminggu lebih awal dari tarikh yang dirancang.

“Assalamualaikum semua. Insya-Allah ‘baby wuvv’ (gelaran bayinya) akan keluar petang ini. Seminggu awal dari tarikh yang dirancang.

“Mohon maaf kalau ada salah dan silap. Doakan saya dan bayi sihat serta selamat. Amin,” tulisnya.

Ayda,29, mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari lalu selepas mengikat pertunangan secara dalam talian pada 28 April tahun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).