POLIS menahan tiga lelaki tempatan disyaki terbabit dalam sindiket mencuri dan mengubah suai 12 buah motorlori besar dianggarkan bernilai RM2.8 juta di sebuah gudang tersorok di Jalan Batu Arang, di sini pada 18 Sept lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata semua suspek berusia lingkungan 39 hingga 41 tahun ditahan di sekitar Shah Alam, Rawang dan Bestari Jaya, Selangor.

Beliau berkata modus operandi sindiket ini adalah mencuri motorlori dan dalam perjalanan mereka akan membuang Sistem Kedudukan Global (GPS), kemudian mencari pembeli sebelum mengubah suai nombor casis serta nombor enjin untuk kegunaan sendiri dan pihak ketiga.

“Selepas mengubahsuai motorlori yang dicuri, sindiket ini akan menjual kepada pembeli dengan harga sekitar RM20,000 hingga RM30,000 malah serendah RM7,000 pun ada untuk pasaran,” katanya dalam sidang media sindiket curi motorlori di sebuah gudang di Jalan Batu Arang, Rawang hari ini.

Abd Jalil berkata pembeli lori berkenaan diminta berwaspada dengan kenderaan yang dijual dengan harga yang lebih murah kerana dikhuatiri ia adalah kenderaan curi.

“Dalam operasi ini, polis juga merampas sebuah muatan motorlori mengandungi pelbagai jenis barang kiriman ‘Shopee’ yang dilaporkan telah hilang.

“Selain itu, sebuah Forklift, dua bongkah enjin yang terdapat kesan gangguan pada nombor casis dan nombor enjin,” katanya.

Abd Jalil berkata pihaknya menerima laporan kehilangan tiga motorlori dengan dua daripadanya bersabit kes di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Subang Jaya dan satu bersabit kes di IPD Klang Selatan.

Beliau berkata polis sedang menyemak dan mengenal pasti penglibatan ahli-ahli sindiket berkenaan.

Selain itu, Abd Jalil berkata kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

“Tangkapan dan rampasan ini merupakan sindiket curi motorlori di sekitar Lembah Klang dan polis masih memburu saki-baki ahli kumpulan ini.

“Ia adalah hasil daripada maklumat orang ramai yang mendapati ada unsur mencurigakan dan meragukan ketika ingin membeli lori yang ditawarkan oleh sindiket berkenaan iaitu dengan kadar harga yang murah dan tidak masuk akal,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat orang ramai yang berhadapan dengan situasi sama semasa menjalankan urusan pembelian seperti lori ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Md Norsham Yunus di talian 019-2905965,” katanya.

Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.