Anwar Ibrahim

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk menerima usul bagi membahaskan isu penahanan tiga anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran salah guna kuasa serta penyelewengan.

Usul berkenaan dibawa Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) kepada Azhar, semalam.

Menurut Anwar, kes penyelewengan tiga anggota SPRM itu adalah serius kerana bukan sahaja melibatkan suruhanjaya tersebut tetapi juga polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga Kementerian Kewangan.

“Yang Dipertua, sementara meneliti (usul), saya mohon sedikit pertimbangan kerana kes ini agak serius.

“Bukan sahaja melibatkan kecuaian SPRM, pagar makan padi tetapi juga polis kerana dah jadi urusan polis, BNM kerana penyelewengan kewangan besar dan juga Kementerian Kewangan.

“Saya mohon beri ruang perkara ini dibahaskan supaya kita dapat penjernihan tentang masalah ini daripada sudut tindakan berkesan daripada kerajaan,” katanya.

Fahmi sebelum itu memohon usul tersebut diterima dan dibahaskan kerana disifatkan memberi kesan terhadap institusi yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Baca artikel berkaitan: Penahanan pegawai SPRM bukti tiada siapa yang kebal – MCW

“Ia satu kes berat, besar dan ada kesan terhadap institusi yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh kerana ia adalah satu perkara tertentu melibatkan kepentingan umum dan perlu disegerakan, saya pohon pertimbangan agar usul ini dibenarkan,” jelas beliau.

Sementara itu, Azhar berkata, beliau baru sahaja meneliti usul dibawa Fahmi, pagi tadi.

“Saya sedang meneliti pagi tadi. Saya akan menulis surat kepada Yang Berhormat (Fahmi) pada hari ini juga. Insya-Allah sebelum pukul 2.30 petang,” katanya.

Kelmarin, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Dalam kenyataan, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September hingga Ahad lalu.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, tiada sebarang laporan diterima setakat Ahad lalu berhubung tiga pegawai kanan SPRM mencuri barang kes berupa wang tunai AS$6 juta sebagaimana yang ditularkan.

Katanya, polis mengambil maklum tentang isu viral tersebut dan mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu.

Abd Jalil berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahguna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.

Isu penahanan tiga pegawai SPRM itu mula diperkatakan apabila sebuah portal mendedahkan perkara berkenaan dengan mendakwa wang tersebut adalah milik bekas Ketua Pengarah Perisikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dirampas oleh agensi tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram