Maqis Pulau Pinang merampas makanan haiwan yang cuba dibawa masuk dari Thailand ketika operasi di Gudang Zon Bebas Dermaga Air Dalam, Butterworth petang semalam.

CUBAAN membawa masuk sebanyak 2.7 tan makanan haiwan dari Thailand tanpa dokumen import sah berjaya dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang, semalam.

Rampasan produk membabitkan nilai kira-kira RM85,600 itu dilakukan dalam operasi dan pemeriksaan di Gudang Zon Bebas Dermaga Air Dalam, Butterworth kira-kira pukul 4.30 petang.

Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, produk tersebut disita untuk siasatan lanjut kerana didapati cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen sah seperti Permit Import.

“Kesemua barang dagangan adalah untuk dipasarkan di negara ini,” katanya hari ini.

Jabatan itu menjelaskan, perbuatan mengimport keluaran pertanian dan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika sabit kesalahan tambahnya, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000  atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.