Sebahagian daripada orang ramai hadir ke Pusat Pemberian Vaksin untuk mendapatkan suntikan Vaksin Covid 19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KADAR pemberian vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus berjalan lancar mengikut perancangan dalam usaha negara mencapai imuniti kelompok.

Usaha itu telah pun menyaksikan hampir 19 juta populasi keseluruhan negara telah pun lengkap divaksinasi, merangkumi 80.2 peratus populasi dewasa.

Statistik hampir 19 juta atau lebih tepat 18.786 juta individu itu turut merangkumi 57.5 peratus populasi keseluruhan telah lengkap menerima dos kedua bagi vaksin dua dos dan satu dos bagi vaksin dos tunggal CanSino.

Sehingga semalam, sebanyak 40.925 juta dos vaksin telah pun diberikan seluruh negara sejak PICK dilancarkan penghujung Februari lalu.

Populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos pula telah mencecah 22.223 juta individu atau 68.1 peratus keseluruhan penduduk.

Dari segi pemberian harian, jumlah dos kekal berada di bawah paras 300,000 semalam.

Sebanyak 261,255 dos telah pun diberikan merangkumi 123,414 untuk dos pertama manakala 137,841 bagi suntikan kedua vaksin COVID-19.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, kadar populasi dewasa yang telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos telah pun mencapai 93.2 peratus.

Bagi pemberian dua dos vaksin mengikut negeri, menurut JKJAV, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 6.622 juta atau 78.6 peratus populasi.

Baca artikel berkaitan: 80 % populasi dewasa lengkap divaksin bukti PPN di landasan betul – Muhyiddin

JKJAV memberitahu, ia diikuti liputan 1.824 juta (64.8 peratus populasi) di Sarawak; 1.953 juta (51.7 peratus populasi) di Johor; 1.546 juta (39.6 peratus populasi) di Sabah; dan sebanyak 1.161 juta (46.3 peratus populasi) di Perak.

Menurut JKJAV, Pulau Pinang menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 1.039 juta individu melengkapkan dua dos diikuti Kedah (986,932) dan 769,781 di Negeri Sembilan.

“Seterusnya, Kelantan berjumlah 751,292; Pahang telah mencatatkan 731,794 lengkap dos kedua dan 636,060 di Terengganu.

“Di Melaka pula, sebanyak 535,824 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 154,115 di Perlis dan 67,165 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, JKJAV berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 7.094 juta.

Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Johor menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 2.528 juta individu.

Ia diikuti Sabah (2.053 juta); Sarawak (1.951 juta); Perak (1.574 juta) dan Kedah (1.299 juta).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram