Sebuah kapal tangki berdaftar di Saint Kitts and Nevis dikesan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 26 batu nautika timur di Tanjung Sedili Kechil, Kota Tinggi, semalam.

KAPAL dagang asing seolah-olah tidak serik berlabuh secara haram di perairan Johor Timur di sebalik penguatkuasaan tegas pihak berkuasa menerusi Op Jangkar Haram sejak Mac lalu.

Terbaharu, sebuah kapal tangki berdaftar di Saint Kitts and Nevis dikesan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 26 batu nautika timur di Tanjung Sedili Kechil, Kota Tinggi.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, kapal berkenaan ditahan pada pukul 3.36 petang.

Beliau berkata, kapal tangki itu dikendalikan tujuh kru warga Myanmar dan Indonesia berumur antara 22 tahun hingga 59 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Nurul Hizam, kapal tangki dan semua kru berkenaan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Jika sabitkan kesalahn boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menambah, Maritim Johor akan meneruskan penguatkuasaan Op Jangkar Haram dan sentiasa memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negeri Johor sentiasa dipelihara.