CIRCLEVILLE, sebuah pekan kecil di daerah Ohio, Amerika Syarikat. Ketenangan di pekan ini pernah diganggu pada tahun 1976 dengan kehadiran rantaian surat misteri.

Ketika itu, penduduk mula dihujani surat misteri berbentuk ugutan kata-kata kasar. Menurut si penulis dalam surat tersebut, dia tahu setiap maklumat penduduk di pekan itu dan gerak-geri mereka sentiasa diperhatikan.

Surat-surat yang dihantar tiada tertulis siapa pengirimnya. Berdasarkan tanda pos pada surat itu, itu dipercayai datang dari bandar Columbus yang jaraknya lebih kurang 25 batu dari Circleville. Surat-surat itu ditulis dengan huruf besar.

Salah seorang daripada penerima surat tersebut adalah wanita bernama Mary Gillespie, seorang pemandu bas sekolah di pekan itu. Penulis menuduh wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki yang bertugas sebagai superintenden sekolah.

“Aku tahu di mana kau tinggal. Aku memerhatikan kau dan anak-anak. Ini bukan gurauan…” begitu antara bunyi surat yang diterima Mary.

Pada mulanya, Mary tidak ambil peduli surat-surat yang diterimanya. Namun, dia tidak menceritakan tentang surat misteri itu kepada suaminya, Ron Gillespie.

Surat demi surat tiba yang memaksa Mary untuk mengakui kecurangannya. Apabila Mary hanya berdiam diri, tidak lama kemudian, sepucuk surat dikirim kepada suaminya, Ron.

Surat itu mengarahkan Ron agar menghentikan skandal yang sedang berlaku antara isterinya dan petugas sekolah itu, atau dia akan dibunuh.

Mary menafikan sekerasnya bahawa dia mempunyai hubungan sulit seperti yang didakwa penulis misteri itu. Ron juga tidak percaya. Masakan isterinya seorang wanita yang baik akan melakukan perbuatan keji itu. Suami isteri itu sepakat mahu menyiasat dan mencari siapa yang menghantar surat-surat ancaman itu.

Tidak lama kemudian, sepucuk surat tiba yang berbunyi, “Gillespie, kamu diberi tempoh dua minggu dan langsung tidak bertindak. Akui kesalahan dan maklumkan pihak sekolah. Jika tidak, aku akan siarkan di CBS, poster dan papan iklan, sehingga kebenaran didedahkan.”

Dalam masa yang sama, kisah skandal Mary mula jadi perbualan penduduk Circleville. Suami isteri itu berpendapat, surat-surat itu berniat jahat dan mahu merosakkan nama baik keluarga mereka.

Pekan Circleville.

Mary dan Ron cuba meneka siapa dalang yang melakukannya. Mereka berpendapat ia mungkin ada kaitan dengan ahli keluarga mereka sendiri. Akhirnya, mereka menaruh rasa curiga terhadap Paul Freshour, adik ipar Ron sendiri.

Terus Diugut

KIRIMAN surat-surat misteri itu terhenti buat seketika sehinggalah tiba tarikh 17 Ogos 1977. Hari itu, Ron mendapat panggilan telefon. Mary tidak tahu siapa yang menelefon dan apa yang dibualkan. Yang pasti, panggilan itu meledakkan kemarahan Ron.

Sebaik menamatkan talian, dalam keadaan marah, Ron mengambil senapang dan terus memandu meninggalkan rumah. Petang itu, mayat Ron ditemui dalam keretanya yang remuk akibat menghentam sebatang pokok, tidak jauh dari rumah mereka.

Ron mati akibat kemalangan itu. Anehnya, polis mendapati senapang Ron baru melepaskan sedas tembakan. Namun ke mana ia ditembak, tidak dapat dipastikan. Apatah lagi penduduk sekitar tidak mendengar sebarang bunyi tembakan.    

Wartawan melaporkan, hasil bedah siasat mendapati tubuh Ron mengandungi tahap alkohol 1.5 kali lebih daripada yang dibenarkan. Agak aneh kerana Ron diketahui bukan seorang kaki alkohol.

Kematian Ron menyebabkan polis menumpukan siasatan kepada keluarga Mary terutamanya berhubung surat-surat misteri yang diterimanya.

Akhirnya, Mary mengakui dia mempunyai hubungan sulit seperti yang disebut dalam surat misteri tersebut. Namun, dia menegaskan hanya mula menjalin hubungan itu setelah menerima surat-surat tersebut.

Mary terus menerima surat dari pengirim misteri itu, tetapi dia tidak mengendahkannya sehinggalah pada tahun 1983. Ketika itu, si penulis mula meletakkan papan tanda berbentuk ancaman dan kata-kata kesat tentang Mary di laluan jalan bas yang dipandu Mary. Taktik penulis seolah-olah ingin mengaibkan Mary supaya semua orang tahu.

Adakah Mary peduli? Tidak. Mary sedikit pun tidak rasa terancam, sementelah namanya memang sudah jadi bualan penduduk sebelum itu.

Bagaimanapun kesabaran Mary hilang apabila dia terlihat sebuah papan tanda yang ditulis untuk mengancam anaknya. Kerana marah, Mary memberhentikan bas dan turun untuk mencabut papan tanda itu.

Rupa-rupanya, papan tanda itu diikat dengan tali yang disambung pada sebuah kotak. Apabila Mary membuka kotak itu, dia terperanjat apabila mendapati sepucuk pistol diletak dalam posisi mengacu ke arahnya.

Mary membuat laporan polis. Hasil siasatan, nombor siri pada pistol itu menunjukkan pemiliknya ialah Paul Freshour, adik ipar mendiang suami Mary. Sebelum itu, mereka memang pernah menaruh curiga terhadap Paul dan kejadian ini menguatkan lagi spekulasi mereka bahawa Paul lah orang yang menghantar surat-surat misteri itu selama ini.

Paul Freshour dituduh menghantar surat-surat itu dan dipenjarakan.

Paul Freshour ditahan. Lelaki itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan cuba membunuh Mary. Menurut Paul, pistolnya telah lama hilang dan dia tidak tahu bagaimana pistol itu digunakan untuk mengancam Mary.

Paul juga menafikan dia yang menulis surat-surat misteri itu. Ujian penulisan dijalankan. Walaupun agak samar tulisan Paul menyamai tulisan dalam surat tersebut, namun bukti pistol kepunyaannya dengan mudah menyeret lelaki itu untuk didakwa di mahkamah atas dakwaan cubaan membunuh.

Pada Oktober 1983, Paul dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah. Dia dikenakan hukuman penjara antara 7 hingga 25 tahun.

Setelah Paul dipenjarakan, penduduk Circleville menarik nafas lega. Penulis surat misteri yang menimbulkan huru-hara di pekan itu akhirnya berjaya ditangkap. Mereka kini boleh hidup aman. Kiriman surat misteri juga berakhir.Benarkah begitu?

TIDAK! Penduduk di pekan kecil itu ternyata salah. Beberapa pucuk surat misteri tiba lagi mengganggu penduduk Circleville. Penulisnya masih sama dan cop menandakan surat itu masih datang dari Columbus.

Siapa yang mengirimnya? Bukankah Paul telah ditangkap?

Tidak mungkin Paul yang menulis surat-surat itu dari dalam penjara. Pertama, penjaranya berada jauh dari bandar Columbus. Kedua, gerak geri Paul dikawal ketat. Bukan mudah untuk dia hendak mengirimkan surat dari penjara. Tiada peluang untuk dia berhubung dengan dunia luar.

Lebih aneh, Paul yang berada di penjara turut menerima sepucuk surat misteri tersebut yang berbunyi, “Bila lagi kau akan percaya bahawa kau tidak akan keluar dari situ? Aku telah beritahu dua tahun lalu. Jika kita merancang sesuatu, ia harus kekal seperti dirancang. Apakah kau tidak dengar langsung apa yang aku katakan?”

Selama Paul dipenjarakan, kemunculan surat-surat misteri itu masih berterusan mengganggu penduduk Circleville. Ia semakin berkurangan tahun demi tahun, sehinggalah Paul akhirnya dibebaskan pada Mei 1994, setelah 10 tahun dipenjarakan.

Pun begitu, sehingga dia menghembuskan nafas terakhir pada 2012, Paul tetap berkeras menafikan segala tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Sebuah rancangan TV berjudul ‘Unsolved Mysteries’ pernah menyiarkan kisah tentang misteri surat-surat Circleville. Rakaman itu disiarkan setelah enam bulan Paul dibebaskan penjara.

Tidak lama setelah ia ditayangkan, stesen TV itu menerima beberapa keping poskad misteri dengan mesej ringkas berbunyi, “Lupakan Circleville, Ohio. Jika kamu datang ke Ohio, kamu akan menerima akibatnya. – Si Penulis Circleville.”

Sehingga ke hari ini, ‘Penulis Surat Circleville’ kekal misteri dan mengundang pelbagai spekulasi.

Apakah kaitannya dengan Mary? Apa pula yang terjadi di sebalik kematian Ron Gillespie? Benarkah Paul Freshour dalang seperti di dakwa? Atau mungkin dia menjadi mangsa kambing hitam dan terpaksa menanggung hukuman atas perkara yang tidak dilakukannya.

Tiada jawapan untuk kesemua persoalan itu hingga ke hari ini.

_____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam