Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sebuah sidang akhbar di ibu negara tahun lalu./ Gambar FB KDN

POLIS telah pun membuka kertas inkuiri berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan sehingga membawa penangkapan tiga anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun menerima satu laporan berhubung kes kehilangan barang kes SPRM didakwa berjumlah AS$6 juta itu.

Kata beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa sebarang laporan polis yang telah diterima akan disiasat dengan telus mengikut lunas perundangan sedia ada.

Pada masa sama, beliau menegaskan telah meminta polis supaya mempercepatkan siasatan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Saya tak pernah dengar bahawa ada siasatan dalaman. Itu dibuat dan diumumkan SPRM. Polis akan melihat kembali kertas laporan yang diberikan.

“Saya bersetuju kalau ia adalah kes curi maka kita akan bawa masuk babitkan kes curi.

“Saya juga telah berbincang dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) polis untuk pastikan kes ini dipercepatkan untuk kepentingan rakyat. Kerajaan ini adalah kerajaan yang mengekalkan sikap benar-benar berintegriti. Insya-Allah perkara ini akan kita ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Beri ruang bahas penangkapan tiga anggota SPRM – Anwar

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) semasa sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Kelmarin, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Dalam kenyataan, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September hingga Ahad lalu.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, tiada sebarang laporan diterima setakat Ahad lalu berhubung tiga pegawai kanan SPRM mencuri barang kes berupa wang tunai AS$6 juta sebagaimana yang ditularkan.

Katanya, polis mengambil maklum tentang isu viral tersebut dan mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu.

Abd Jalil berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahguna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.

Isu penahanan tiga pegawai SPRM itu mula diperkatakan apabila sebuah portal mendedahkan perkara berkenaan dengan mendakwa wang tersebut adalah milik bekas Ketua Pengarah Perisikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dirampas oleh agensi tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram