ayob khan
AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

AKIBAT risau dan takut dikenakan tindakan, seorang wanita warga emas kerugian lebih RM1 juta selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, wanita berusia 69 tahun itu telah menerima panggilan daripada individu mendakwa sebagai pegawai LHDN pada awal September lalu memaklumkan mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Kata beliau, panggilan tersebut kemudiannya telah disambungkan kepada ‘Mr. Yong’ yang menyamar sebagai pegawai polis.

Menurut Ayob Khan, mangsa yang berasa takut kemudiannya mengikut arahan suspek untuk membuka satu akaun bank atas nama mangsa dan memberikan nombor siri kad bank dan nombor pin akaun kepada suspek.

“Antara 3 September hingga 17 September 2021, mangsa telah membuat pemindahan wang daripada beberapa akaun bank ke akaun bank yang dibuka mangsa dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.032 juta.

“Mangsa juga telah menyerahkan semua nombor TAC yang diterima kepada suspek.

“Pada 21 September 2021, mangsa telah membuat semakan pada baki akaun bank dan mendapati baki wang di dalam akaun telah berkurangan sebanyak RM1.032 juta, mangsa menyedari telah ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Wanita kena scam kerana percaya iklan kucing British Shorthair berharga murah

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebat dan denda.

Mengulas lanjut, Ayob Khan turut menyeru dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka dengan trend jenayah semasa.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan secara terus menerusi talian maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di talian 013-2111222 atau boleh menghubungi bilik gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Trend jenayah terutama melibatkan transaksi belian dalam talian, pelaburan dan perkenalan dalam talian melalui media sosial.

“Gunakan aplikasi semakan dalam talian yang diperkenalkan pihak berkuasa seperti akaun keldai sebelum melakukan sesuatu transaksi kewangan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram