Khairy Jamaluddin./ Gambar media sosial Jabatan Penerangan.

KERAJAAN tidak berhasrat untuk mewujudkan hospital kekal bagi merawat pesakit COVID-19 di setiap negeri.

Sebaliknya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan masih mengekalkan hospital penuh COVID-19 terutama di peringkat negeri buat masa ini sehingga penularan pandemik dapat ditangani lebih baik.

Namun begitu, kata beliau, perancangan itu tertakluk kepada penurunan kes kemasukan akibat COVID-19 ke hospital.

“Perancangan itu saya tak boleh sebut berapa lama sebab kita berharap bahawa dengan penurunan kes kemasukan ke hospital, lebih banyak lagi hospital hibrid di mana sebahagian wad yang diambil alih untuk menguruskan rawatan COVID-19 dapat dijadikan semula sebagai hospital biasa.

“Namun demikian, buat masa ini bagi memastikan kapasiti respons kepada kes jangkitan COVID-19, kita masih lagi kekal beberapa hospital sebagai hospital COVID-19 sama ada secara penuh atau hibrid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhasrat mewujudkan hospital kekal khusus merawat COVID-19 dan peralatan mencukupi di setiap negeri.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Abdullah Sani yang meminta menyatakan status kebolehupayaan alatan hospital kerajaan yang digunakan untuk merawat pesakit COVID-19, Khairy berkata, sebanyak RM593 juta telah dibelanjakan bagi perolehan darurat peralatan tambahan hospital yang diperlukan bagi merawat kes COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Baca artikel berkaitan: Khairy buat lawatan mengejut ke Hospital Kajang, dapat pujian Netizen

Kata beliau, perolehan yang dibuat tahun lalu dan sehingga kini telah diagihkan mengikut keperluan ke semua fasiliti kesihatan seluruh negara.

“Ia termasuk peralatan seperti katil pesakit biasa, katil pesakit unit rawatan rapi (ICU), ventilator, ultra bunyi, body freezer, kontena mayat, silinder oksigen dan lain-lain lagi.

“Ini tidak termasuk sumbangan peralatan yang diterima dari dalam dan luar negara bernilai RM148 juta,” jelas beliau.

Selain menambah peralatan hospital, Khairy berkata, KKM juga menubuhkan Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Nasional bagi memobilisasikan petugas ke negeri mempunyai jangkitan kes tinggi seperti Pulau Pinang, Kedah dan Sabah.

Menurut beliau, setakat ini seramai 223 petugas kesihatan telah dihantar ke Pulau Pinang; 156 ke Kedah dan 102 ke Sabah bagi memastikan kes-kes kritikal dapat ditangani dengan baik serta petugas kesihatan tidak mengalami keletihan melampau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram