KEADAAN kereta yang dipinjamkan Uncle Kentang kepada peminjam secara percuma. - FB Kuan Chee Heng

“SUSAH lah ini macam. Kasi kereta, kereta kasi wrecked (rosak). Kami lah jadi mangsa nak repair (baiki). Aku masih sabar,” begitulah luahan Kuan Chee Heng di Facebook miliknya baru-baru ini.

Chee Hen, 57, yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang banyak menjalankan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat, termasuk memberi pinjam kenderaan untuk kegunaan mereka yang memerlukan.

Aktivis sosial itu berkata, sepatutnya apabila seseorang mendapat bantuan, mereka hendaklah menghargainya dan menjaga sebaik mungkin barang yang diperoleh atau dipinjam.

Kuan berkata demikian sebagai mengenai hantaran gambar di media sosialnya menunjukkan sebuah kereta bantuan miliknya yang rosak selepas kemalangan akibat kecuaian peminjam.

Netizen yang melihat gambar dan membaca komen ringkas Uncle Kentang turut bersetuju yang peminjam perlu menghargai kereta yang dipinjaman tersebut, walaupun ada juga yang bersimpati dengan peminjam yang menghadapi kemalangan.

“Teguran ini juga ditujukan kepada semua yang meminjam kenderaan kami supaya menjaga dan memandulah dengan baik.

“Bukanlah saya marah kerana kemalangan boleh berlaku di mana-mana saja, tetapi alasan baca mesej sambil memandu tidak boleh diterima,” kata Kuan dihubungi Harian Metro hari ini.

Uncle Kentang yang juga aktivis sosial, baru-baru ini telah menerima Anugerah Komanwel dari Ratu Elizabeth II, selaku Ketua Komanwel, kepada sukarelawan dari 54 negara Komanwel sebagai pengiktirafan terhadap kerja-kerja sukarelawan mereka.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya mempunyai 20 kereta bantuan yang diberi pinjam secara percuma untuk kegunaan golongan yang memerlukan menambah pendapatan.

“Kita beri pinjam kereta itu untuk dia buat penghantaran, supaya ada sedikit pendapatan. Tetapi tidak sangka, semalam kita bagi, esok sudah rosak.

“Apabila jadi macam ini, kita yang perlu tanggung kos, memanglah boleh tuntut insurans tetapi tidak moleklah,” katanya. – UtusanTV