Gangguan seksual atau serangan seksual, satu perilaku yang cukup menjijikkan! Tiada alasan logik yang mampu mempertahankan tindakan pemangsa, lebih-lebih lagi sehingga ia membebankan emosi yang dihadapi mangsa dan keluarga.

Perkongsian Nurul Fadhilah Salleh ketika berdepan dengan ‘sexual predator’ cukup mendebarkan, malah gangguan daripada keluarga pemangsa juga boleh mengugat kesabaran sehingga menyukarkan emosi membuat keputusan.

Jelas Fadhilah, dia diraba dibahagian paha ketika sedang tidur dalam perjalanan pulang ke kampung dan bersyukur kerana masyarakat sekeliling cukup peka dengan keadaannya yang trauma ketika itu.

Malah tegasnya, walau apa berlaku, jangan sesekali menarik balik laporan polis. Tetapkan pendirian demi membela maruah dan kesihatan mental emosi.

Ikuti perkongsiannya sebagai pedoman bersama.

“Pengalaman Berdepan Sexual Predator – Part 1

Aku pernah berhadapan dengan pemangsa spesis ni.

Sampai sekarang rasa benci diri sendiri sebab satu kejadian tu. Bila teringat, menyumpah-nyumpah diri dalam hati.

Cerita ni, keluarga terdekat je tau. Tapi aku cerita buat pengajaran semua.

Kejadian jadi 9 tahun lepas. Waktu tu aku dah kerja, belum kahwin. Rutin aku sebulan sekali aku balik kampung kat JB naik bas. Biasanya aku akan terus naik bas lepas habis kerja.

Weekend tu aku balik sebab ada tahlil arwah Abah. Abah baru meninggal dalam 2-3 bulan rasanya.

Nak dijadikan cerita, hari kejadian tu aku penat gilaaa sebab lunch tengah hari tu aku pergi gym, buat interval sprint. So bila naik bas lepas kerja tu battery badan aku dah nyawa-nyawa ikan.

Seat aku takdela depan sangat, tidaklah belakang sangat. Kira tengah-tengah bas la. Time nak duduk tu aku perasan la lelaki sebelah aku tu Melayu, macam dah berumur (dekat 50an dah kot), pakai baju kemeja putih, smart je. Tak nampak la muka mat dadah ke apa, aku rasa ok la kot. Aku duduk kat seat luar, tepi aisle. Pastu tak tunggu lama, bas pun gerak.. Aku rasa aku dah terlelap sebelum bas masuk PLUS. Punyalah penat.

Tapi tak sedar bas dah sampai mana, tiba-tiba aku terjaga sebab rasa geli kat peha. Aku toleh lelaki tu, dia tengah tido.

“Mimpi kot”. Aku bisik dalam hati sebab tau diri sendiri tengah penat. Aku sambung tido.

Pastu rasa tak selesa sekali lagi, atas sebab yang sama, dan aku bagi diri aku 0.5 saat untuk pastikan benda tu bukan mimpi.

SAH!

Bukan mimpi.

Aku bangun, lelaki tu tengah tido n aku tau dia pura-pura tido, aku campak plastik makanan aku beli kat TBS sebelum naik bas kat badan laki tu, aku jerit ‘GROSS!!!’

Dia terkejut.

Aku terus lari ke depan bas yang masih bergerak atas highway, aku panik. Dada aku berdegup kencang, rasa nak meletup. Aku tak tau nak ke mana.

Aku jumpa seat kosong sebelah sorang akak ni, dia pun terkejut aku macam kalut semacam, aku terus menangis. Aku cakap kat dia ‘kak, saya kena raba’. Aku menangis teruk, trauma sangat-sangat. Akak tu peluk aku, tenangkan aku, tapi dia cakap sesuatu yang bernada tegas sangat, ‘nanti bas berhenti, bagitau pakcik driver’.

Sampai kat hentian mana tah (yang pastinya dah masuk Johor), atas sokongan akak tadi tu, aku kuatkan kaki aku menapak pergi jumpa pakcik driver bas tu. Satu badan aku menggigil. Dengan mata yang bengkak aku cerita kat pakcik tu apa yang jadi. Pakcik tu bila dengar cerita aku dia pun emo semacam kat lelaki tu (siap jeling kat lelaki tu) bila lelaki tu nak naik bas (dia gi toilet kot).

Waktu tu, sumpah aku tak tau apa yang aku kena buat. Aku mengadu kat pakcik tu pun aku tak tau apa yang aku nak dia buat. Aku ikut je cakap akak tu tadi. Sumpah otak aku tak boleh fikir waras waktu tu. Tapi, respon pakcik tu apa tau.

“Jom, kita bawak dia pergi balai!”

Pakcik driver tu naik bas, dia bagi tazkirah kat lelaki tu, dia cakap “jap lagi saya hantar awak pergi balai”.

Aku macam….. Whoaa sampai macam tu punya level protective pakcik ni. Aku da lah baru sangat kehilangan arwah Abah time tu. Memang sayu laa bila orang layan kita macam anak dia.

Dan sungguh, pakcik tu memang bawak satu bas tu pergi balai polis. Memang drama la time tu… Kelakar pulak bila ingat balik betapa ramai insan2 tak bersalah kena heret dalam masalah aku seorang hahaha.

Bila aku turun bas tu, lelaki tu jalan kat belakang aku. Pakcik driver tu memang paksa lelaki tu turun.

Otw masuk balai, lelaki tu cakap apa tau kat aku : “cik, saya minta maaf sangat-sangat cik, saya ada keluarga, saya ada anak bini”. Nada merayu, baru nampak muka dia cemas. Time acah-acah tido sebelum tu muka dia tenang je. Hampeh.

Badan aku yang sekian lama menggigil, jadi macam gunung berapi nak meletus bila dengar dia cakap macam tu. Aku pusing belakang, aku tunjuk isyarat telunjuk kat muka dia (ya aku memang ada perangai samseng aku lol), aku cakap “kau kalau dah sedar ada anak bini, jangan buat benda macam tu la!”

Aku jalan hentak kaki laju-laju masuk balai. Marah oiiii.

Lepas aku setel buat laporan polis baru pakcik driver gerak balik. Aku berterima kasih banyak-banyak kat pakcik dan akak tadi tu. Rasa bersalah kat semua penumpang bas yang lain sebab delay masa diorang sejam. Sorry korang.

Aku stay kat balai, tunggu abang ipar aku amik aku. Lelaki tu masuk lokap.

Sepanjang weekend tu otak aku semak dengan benda yang jadi.

Nak tau kenapa aku cakap semak?

Sebab aku mula dihubungi oleh keluarga lelaki tu.”

Bahagian 2.

“Family lelaki tu mula contact aku. Waktu tu aku pakai fon keypad keletuk-keletuk tu, so berbalas SMS je. Aku dihubungi oleh si isteri pemangsa, dan anak sulong beliau.

Aku tak ingat secara jelas intipati perbualan kitorang, tapi yang pastinya si anak bagi testimoni ‘ayah saya baik’, si isteri pula bagi testimoni ‘suami saya baik, kami PJJ, dia tak pernah buat macam tu sebelum ni, ini pertama kali dia buat, dia berada di tempat yang salah’.

Hurm.

Ahad,

2 hari lepas kejadian.

Si isteri mengajak aku untuk berjumpa. Aku kusut. Aku turutkan je, ditemani abang ipar aku yang sulong (kami semua 5 beradik perempuan, so dialah abang yang menjaga aku). Maka bertemulah kami di sebuah kafe di JB. Tapi si isteri tu minta untuk kami berbincang berdua je. So abang ipar aku tunggu jauh sikit.

Pertemuan tu penuh dengan drama air mata 2 wanita. Seorang wanita tu percaya suaminya sangat baik yang baru melakukan kesilapan pertama kali, yang ingin menjaga reputasi si suami yang bukan berjawatan calang-calang di syarikat besar di ibu kota, seorang lagi wanita yang trauma dengan perlakuan si lelaki tu.

Di hujung-hujung pertemuan, aku dipujuk oleh si isteri untuk menarik balik laporan polis, agar si suami bebas dari lokap. Katanya lagi, mereka dijadualkan untuk menunaikan haji pada tahun tu, makanya dia risau kalau aku nak bawa isu ni ke mahkamah, dia laki bini tak dapat pergi haji.

Selesai pertemuan, otak aku makin semak.

Kesian la pulak kat akak tu, kang kempunan nak pergi haji.

Abang ipar aku pulak memang berkeras supaya aku tak tarik laporan polis. Lagipun dia peguam, dia bersedia untuk selesaikan sampai habis. Abang ipar aku memang protective.

Sampai rumah, aku di desak lagi oleh si isteri dan si anak melalui SMS.

Waktu tu aku rasa ada baiknya aku selesaikan semua benda tu kat situ supaya aku tak diganggu dengan masalah tu lagi. So aku pun tarik laporan polis tu.

Abang ipar aku frust gila. Tapi dia pun tau adik ipar dia ni keras kepala, dia terpaksa akur dengan keputusan aku.

So bila aku tarik laporan polis, lelaki tu pun dibebaskan. Isteri si lelaki tu punyalah bersyukur, siap tanya aku berapa dia nak bayar aku sebab tarik laporan polis tu (dari gaya dia, money is not a big deal for them).

Aku rasa awkward bila dia cakap macam tu, sebab rasa macam aku jual diri. So aku suruh dia sedekah duit tu kat rumah anak yatim. Bukan sikit beb aku suruh dia sedekah. Ribu2 la jugak (tak ingat berapa, tapi tak sampai 10k).

So gitulah kisahnya. Frust kan baca?

YA, ending dia frustrating nak mati. Tapi apa yang aku nak korang belajar di balik kisah gelap aku ni :

1) Sebagai stranger perempuan – Kalau ada stranger perempuan datang kat kau dalam keadaan panik, mengadu dia kena sexual harassment, jangan sesekali ingat dia menipu or buat-buat cerita. It’s very hard to fake the expression. Peluk dia (kalau kau perempuan la, sebab pelukan tu waktu tu bagi aku perasaan selamat di tempat asing. Serious aku rasa akak tu ahli masyarakat yang sangat berguna sebab peluk aku yang stranger ni). YAKINKAN DIA untuk buat laporan polis.

2) Sebagai stranger lelaki – Korang mesti kagum dengan pakcik driver tu kan? Avoid VICTIM BLAMING. Macam tu jugakla korang yang lelaki kena buat kalau ada perempuan datang mengadu kena gangguan seksual. Jangan banyak soal, jangan meragui perempuan tu, BAWAK PEREMPUAN TU BUAT LAPORAN POLIS. Aku berterima kasih sangat2 sebab dia TANPA SECEBIS RAGU-RAGU membantu aku yang lemah waktu tu. Tak boleh imagine kalau dia buat bodoh, or kata aku mimpi ke apa ke. Mau murung teruk aku sampai tua. Terima kasih banyak-banyak pakcik, kerana melindungi wanita lemah. Saya harap pakcik sentiasa dalam lindungan Allah.

3) Sebagai mangsa – bila dah buat laporan polis, bertabahlah dengan ujian yang tidak di sangka-sangka. Antaranya, keluarga pemangsa memaksa untuk memaafkan si pemangsa sebab esok flight diorang satu family pergi Paris (contoh). Atau si anak pemangsa mesej anda ‘papa saya orang baik’. Testimoni-testimoni ini akan menggugat naluri KEWANITAANMU. Once dapat mesej atau panggilan macam ni, tukarlah nombor telefon. JUST. DO. IT.

Oh ya, anda juga barangkali akan mendengar pujukan seperti ‘rosaklah reputasi suami saya, macam mana kalau dia kena buang kerja siapa nak bagi kami makan blablabla’

4) Sebagai mangsa (lagi) – bila keluarga pemangsa ajak berjumpa, persetankan permintaan itu.

5) Sebagai mangsa (lagii) – dengarlah nasihat orang yang menyayangimu.

6) Sebagai mangsa (lagiiii) – jangan sesekali tarik laporan polis.

Kenapa aku pesan #3, #4, #5 dan lagi-lagi point #6?

Sebab aku ingat, bila aku tarik laporan polis dan berdamai dengan keluarga pemangsa, jiwa aku akan sembuh.

Tapi, hakikatnya TIDAK.

Hampir 10 tahun berlalu, aku masih trauma :

1) Bila teringat kejadian tu, aku semacam ada refleks, aku pejam mata aku sebab nak lupakan benda tu, aku pukul peha aku.

2) Aku ada masalah berhadapan dengan lelaki yang ada iras-iras wajah PEMANGSA.

3) Aku rasa diri aku kotor.

4) Aku benci diri aku, aku keep salahkan diri sebab pergi gym siang tu, sampai aku penat dan tertido mati dalam bas.

5) Aku sampai sekarang fikir, salah baju yang aku pakai haritu ke?

Nampak kan, ko jadi macam orang tak betul. Benda yang jadi tu ko rasa macam kecik je, ko ingat 5 tahun akan datang ko akan lupa, ko akan okay, tapi tak. Impak dia sampai tua.

So kesimpulannya, benda yang berlaku tu akan terus menghantui ko sampai ko tua.. So alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Ingat pesan aku, JANGAN TAKUT UNTUK MEMBUAT LAPORAN POLIS, dan lepas tu, JANGAN TARIK LAPORAN POLIS.

Kalau korang ada kawan jadi mangsa, cakap macam ni :

“JOM AKU BAWAK KO PERGI BALAI SEKARANG. KITA BUAT REPORT”

Instead of;

“KO TAKNAK BUAT POLICE REPORT KE?”

Jangan bagi member yang tak boleh berfikir waras tu untuk berfikir, ok? Bawak je dia pergi balai.

Dan yang terakhir, sebagai isteri kepada pemangsa, cuba bayangkan benda yang sama jadi kat anak perempuan kamu, mampukah kamu memaafkan si pemangsa?

Renungkanlah~~~~

Yang ikhlas berpesan,

-padilah-

Gambar : baju aku di hari kejadian. Jadi wanita tak mudah, kan?”

Sumber : Nurul Fadhilah Salleh