KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi yang membenarkan tuntutan permohonan ibu warganegara Malaysia ke atas anak-anak yang dilahirkan di luar negara dan berbapakan warga asing pada 9 September lalu wajar dipertahankan.
Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, sebarang prosedur rayuan yang dilakukan kerajaan perlu ditarik balik serta-merta.
Menurut beliau, amalan penganugerahan warganegara secara automatik kepada bapa sedangkan ibu perlu memohon secara pendaftaran dalam situasi sama telah mengakibatkan ketidakadilan yang tidak berasas sama sekali.
Asyraf Wajdi berkata, ia juga mengakibatkan kesulitan yang berpanjangan dan menjejaskan hak kanak-kanak untuk mendapat akses yang sama dengan kanak-kanak warganegara Malaysia kepada pendidikan serta rawatan perubatan dan kemudahan asas lain.
“Pemuda UMNO menggesa pihak Peguam Negara menarik balik notis rayuan manakala Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) harus segera menguatkuasakan keputusan ini dengan mengetepikan prosedur-prosedur di bawah Perkara 15(2) bagi menyelesaikan kesemua permohonan yang tertunggak seperti mana saranan Mahkamah Tinggi.
“Kegagalan pihak JPN dalam mematuhi keputusan mahkamah bukan sahaja boleh dianggap ingkar tetapi turut menjejaskan hasrat murni Keluarga Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri dalam menjamin keutuhan institusi keluarga serta menjamin hak kanak-kanak terlibat mendapatkan kepentingan terbaik mereka ditegakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, sekiranya perkara itu dibiarkan berlanjutan akan menyebabkan kesan-kesan negatif dan kecelaruan terhadap kebajikan, perkembangan serta hubungan keluarga dengan adik-beradik lain.
Baca artikel berkaitan: Batal rayuan keputusan hak kerakyatan anak kepada ibu – Sultan Johor
“Keperitan emosi dan mental pihak-pihak ini hanya kerana anak-anak mereka dilahirkan di luar negara tidak wajar dibiarkan berterusan berlaku.
“Permasalahan yang melanda hanya kerana kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara yang mengahwini warga asing telah diselesaikan dengan pendekatan bijaksana Mahkamah Tinggi memberi takrifan kepada istilah ‘bapa’ untuk merangkumi ‘ibu’ jua,” jelas beliau.
Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.
Hakim Datuk Akhtar Tahir, yang membuat keputusan itu dalam penghakimannya berkata, perkataan ‘bapa’ dalam jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.
Beliau membuat keputusan itu ketika membenarkan saman pemula, difailkan bagi menuntut perisytiharan anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan walaupun mereka dilahirkan di luar negara.
Bagaimanapun, media melaporkan, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memaklumkan, kerajaan memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu.
Semalam, kerajaan bercadang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memudahkan ibu-ibu mendapatkan kerakyatan untuk anak-anak yang lahir di luar negara dan mempunyai bapa bukan warganegara Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesukaran yang dihadapi ibu-ibu yang mahu mendaftarkan anak-anak mereka.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram