PENYANYI Haqiem Rusli mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan hatinya dalam masa terdekat.

Ujar pelantun lagu Tergantung Sepi itu, segala persiapan perkahwinan kini sudah pun selesai dan hanya menanti waktu sesuai untuk disatukan sebagai pasangan suami dan isteri.

“Ya, saya sudah pun selesai menjalani kursus kahwin, ujian saringan HIV (Human Immunodefiency Virus) juga telah dilakukan.

“Selain itu, persiapan borang nikah juga telah lengkap. Hanya tunggu masa hendak ke pejabat agama sahaja,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Bukan gimik! Haqiem Rusli sahkan mahu berkahwin hujung tahun ini

Tambah Haqiem atau Ridzuan Haqiem Rusli,23, majlis pernikahannya itu akan diadakan secara sederhana bergantung kepada keadaan semasa.

“Buat masa ini kami rancang untuk bernikah dulu. Majlis resepsi pula kami nak buat secara kecil-kecilan, itu pun bergantung kepada statistik kes Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, Haqiem turut memberitahu ada mencipta sebuah lagu baharu khas untuk bakal isterinya.

“Saya ada menggubah sebuah lagu baharu untuk bakal isteri saya berjudul Hitam Saksi Putih. Maksud ‘hitam’ itu ialah berkenaan diri saya yang banyak melakukan kesalahan dan dia yang ‘memutihkan’ saya,” kongsinya.