sprm

POLIS mengesahkan siasatan terhadap seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kes memiliki dadah dan senjata api, bukan berhubung kes kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pegawai kanan berkenaan ditahan pada Selasa lalu dan tangkapan dilakukan atas kesalahan memiliki dadah berbahaya dan senjata api serta peluru.

Menurut beliau, individu itu disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Baca artikel berkaitan: Polis buka kertas inkuiri kes tiga pegawai SPRM – Hamzah

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata PDRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang diterima berkaitan kes berkenaan.

Memetik laporan Bernama, Hamzah berkata, kertas siasatan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis (KEP).

Isnin lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan membabitkan dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram