Tangkap layar video sumpah laknat didakwa dilakukan abang kepada mangsa gangguan seksual.

SEORANG lelaki mendakwa abang kepada mangsa gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal tampil membuat sumpah laknat berhubung kes tersebut.

Dalam video berdurasi 46 saat itu, lelaki berkenaan tampil sebagai saksi bagi membuktikan adiknya menerima mesej serta panggilan video lucah daripada pendakwah terbabit sehingga mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri.

Video sumpah laknat itu dikongsikan Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung menerusi saluran telegram miliknya.

Menurut Firdaus Wong, video sumpah laknat itu dikongsikan abang mangsa selepas pertemuan secara maya menerusi aplikasi Google Meet antara beliau dengan mangsa dan ahli keluarganya.

Firdaus Wong berkata, mangsa dan keluarga juga sangat menyokong dan memberikan kata-kata semangat supaya beliau meneruskan usaha menegakkan kebenaran.

Katanya, buat masa ini nama dan wajah abang serta mangsa dirahsiakan dahulu.

“Setelah perbualan saya bersama mangsa dan ahli keluarganya menerusi Google Meet selama hampir dua jam kelmarin, ahli keluarga mangsa yang sangat supportive ini meminta saya kongsikan video sumpah laknat mereka.

Baca artikel berkaitan: Polis buka kertas siasatan video, mesej lucah babit pendakwah terkenal

Penyebaran video, mesej lucah ganggu siasatan asal polis

“Ini adalah video sumpah laknat (mubahalah) daripada abang mangsa sebagai saksi bagi membuktikan adiknya menerima mesej serta panggilan video lucah daripada pendakwah tersebut sehingga mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri.

“Ini adalah keluarga contoh yang menyokong jihad ahli keluarga mereka yang menerima mesej terkutuk sebegitu. Semoga Allah bantu mereka yang membantu menegakkan kebenaran,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Semalam, polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan ekoran video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi Telegram didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Pada masa sama, kata beliau, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam sidang akhbar hari ini, Abd. Jalil turut menasihatkan orang ramai supaya menghormati siasatan dijalankan polis ke atas pendakwah terkenal berkenaan.

Beliau menegaskan penyebaran video dan mesej lucah menerusi media sosial yang didakwa melibatkan pendakwah terkenal itu telah mengganggu siasatan asal dijalankan polis berhubung kes gangguan seksual.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram