BINTANG terkenal Korea Selatan, Kim Jong Kook, TOMORROW X TOGETHER, Jason Mraz, Pink Sweat$, Bazzi dan Jamie Miller antara artis antarabangsa yang bakal membuat persembahan pada Astro 25 Concert yang akan berlangsung pada malam esok.

Bukan sahaja artis luar negara, malah konsert tersebut akan turut dijayakan selebriti tanah air antaranya Datuk Sheila Majid, Ella, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Datuk M. Nasir, Datuk Syafinaz, Erra Fazira, Anuar Zain, Ernie Zakri, Datuk Hattan, Misha Omar, Mugen Rao, Syamel, Zee Avi, Shio Yee, Liza Hanim, Hael Husaini, Datuk Aznil dan Zynakal.

Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, konsert terbabit istimewa buat setiap pelanggan dan bakat-bakat tempatan dalam industri khususnya yang selama ini setia menyokong stesen TV berbayar itu.

“Sebagai sebahagian dari usaha Astro untuk meraikan rakyat Malaysia selama 25 tahun ini, kami begitu teruja untuk membawakan Astro 25 Concert, yang akan menyaksikan persembahan terhebat dari artis naungan Astro yang mana mereka turut digandingkan dengan ramai nama hebat di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa.

Seiring dengan tema sambutan ke-25 tahun Astro iaitu ‘Better Together’, kami percaya bahawa kita semua akan lebih baik jika terus kekal bersama.

“Konsert ini diadakan istimewa buat setiap pelanggan dan bakat tempatan dalam industri khususnya yang selama ini setia menyokong kami dalam misi memastikan rakyat Malaysia sentiasa terhibur dan kekal berinformasi di kala kami berusaha melebarkan sayap menjangkaui televisyen dan radio,” katanya.

Agnes Rozario

Konsert secara virtual terbabit bakal disiarkan menerusi Astro 25 (Saluran 100) dan platform Astro GO pukul 8.30 malam dengan menampilkan pengacara Nabil Ahmad, Ean, Arnold dan Aishah Sinclair.

Persembahan selama tiga jam itu turut menampilkan kumpulan lelaki Cantopop Hong Kong sensasi, Mirror, bintang Hong Kong Ruco Chan, dan pemenang TVB Stars Academy yang baru saja berusia 15 tahun, Gigi Yim.

Selain itu, kumpulan popular Indonesia, Dewa 19, Once Mekel, Slam, Taufik Batisah, Amir Masdi, Siti Nordiana, Naqiu, Yoke Chen, Sarah Suhairi, Santesh, Nicole Lai, Azharina, Han Byul, Noryn Aziz, Vanessa, Vince Chong dan Aina Abdul juga tampil membuat persembahan.

Tidak ketinggalan, kemunculan pelawak dan hos terkemuka negara, Harith Iskander, bersama pemain komedi, pelakon dan pengacara TV popular Singapura, Kumar.