Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal sekitar kawasan flat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). - GAMBAR: Abd Razak Aid

TIGA lokaliti di Sabah dan dua di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad ini hingga 9 Oktober ini susulan penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19 di kawasan itu.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad menerusi kenyataannya di laman Facebook berkata, di Sabah, ia melibatkan Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan di Ranau serta Base Camp Bornion Timber Sdn Bhd di Batu 46, Tulid, Keningau.

Beliau berkata di Pahang pula, ia membabitkan Rumah Pangsa Jalan Karak, Mentakab serta perkampungan Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom, Mukim Ulu Jelai, Lipis.

Sementara itu, PKPD di Pos Sinderut Mukim Ulu Jelai, Lipis serta Kampung Pasu dan Kampung Penderas di Kuala Krau, Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan dari hingga 9 Okt.

PKPD di Felda Keratong 5, Rompin, Pahang; Kampung Ulu Groh, Kampar, Perak dan Kampung Kopungit, Kota Kinabalu, Sabah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

  • UTUSANTV