Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan menunjukkan salinan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang didaftarkan oleh usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang kini berada di Thailand ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

USAHAWAN kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang kini berada di Thailand disahkan memegang status Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, polis Thailand mengesahkan Nur Sajat telah ditangkap pada 8 September lalu di Bangkok atas kesalahan melanggar syarat-syarat imigresen negara berkenaan.

Sehubungan itu, kata beliau, pihak imigresen Thailand telah membatalkan pemilikan pasport antarabangsa Nur Sajat.

“Jadi, keberadaan Nur Sajat adalah tidak sah semasa di Bangkok sekali gus dia memohon status UNHCR dan berjaya mendapat status berkenaan.

“Dia sedang menunggu tawaran pihak negara ketiga bagi membantu Nur Sajat ditempatkan di negara terbabit,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Walau bagaimanapun, Abd. Jalil berkata, polis masih meneruskan tindakan undang-undang bagi membawa pulang Nur Sajat, namun proses tersebut bergantung kepada pihak berkuasa Thailand bagi memenuhi permintaan tersebut.

“Permohonan untuk membawa pulang Nur Sajat ini masih dalam proses kerana ia melibatkan Pejabat Peguam Negara, Kementerian Luar dan kedutaan kita.

Baca artikel berkaitan: Permohonan bawa pulang Sajat dibuat dalam tempoh terdekat

“Kita juga mendapat maklumat Nur Sajat sekarang telah menggunakan nama samaran Bella tetapi dia tetap orang yang sama,” jelas beliau.

Pada masa sama, Abd. Jalil turut berharap keluarga Nur Sajat membantu menasihatkannya supaya pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan yang disifatkannya tidak seberat mana.

“Kes Nur Sajat ini kecil sahaja iaitu membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis kerana telah menghalang penjawat awam.

“Kita yakin keluarganya boleh membantu polis untuk memujuk supaya Nur Sajat pulang,” katanya.

Semalam, Abd. Jalil dalam kenyataan memaklumkan polis sedang dalam proses permohonan untuk membawa pulang Nur Sajat dengan usaha tersebut akan dibuat dalam tempoh terdekat.

“Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram