Video kemalangan berdurasi 3 minit yang dirakam orang awam itu tular dan berlaku di Kilometer 10.9 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) menghala ke arah Subang, semalam.

PEMANDU lori yang video kenderaan itu dirakam dari lorong kanan, kemudian terhuyung-hayang sebelum terbabas memasuki lorong kiri, lalu terbalik didapati positif dadah.

Video kemalangan berdurasi 3 minit yang dirakam orang awam itu tular dan berlaku di Kilometer 10.9 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) menghala ke arah Subang, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi.

Menurutnya, lori dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun itu hilang kawalan secara tiba-tiba kerana pemandunya dipercayai tertidur lalu terbabas berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian.

“Sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah yang sama gagal mengelak dan terlanggar lori berkenaan (tiada dalam rakaman) selang beberapa minit kemudian.

“Namun lelaki itu hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramsay berkata, ujian saringan air kencing pula mendapati pemandu lori terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Ujarnya, suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman atas kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi kesalahan trafik pula, kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan semasa di bawah pengaruh dadah.

Sementara itu, Ramsay berkata, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697 bagi membantu siasatan.