Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENYEBARAN video dan mesej lucah menerusi media sosial yang didakwa melibatkan pendakwah terkenal telah mengganggu siasatan asal dijalankan polis berhubung kes gangguan seksual.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan menasihatkan orang ramai supaya menghormati siasatan dijalankan polis ke atas pendakwah terkenal berkenaan.

Menurut beliau, kertas siasatan dibuka semalam adalah untuk menyiasat individu bertanggungjawab menyebarkan video dan mesej lucah tersebut ke media sosial.

Abd. Jalil berkata, kes baharu itu masih dalam siasatan dengan individu menyebarkan video akan dipanggil, namun beliau tidak mahu mengesahkan sama ada ia melibatkan seorang aktivis.

“Kes yang kita buka semalam adalah untuk menyiasat individu yang menyebarkan video, berasingan dengan kes asal melibatkan pendakwah tersebut.

“Patuhilah undang-undang sedia ada kerana kita tak nak dengan kenyataan disebarkan akan mengganggu siasatan polis yang telah dijalankan dengan terperinci.

“Kita mohon kepada semua pihak, walaupun mempunyai maklumat yang boleh membantu, tidak perlu disebarkan melalui media sosial. Hantar terus kepada polis bagi membolehkan kita melengkapkan kertas siasatan seterusnya merujuk ke pejabat Peguam Negara,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Polis buka kertas siasatan video, mesej lucah babit pendakwah terkenal

Semalam, polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan ekoran video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi Telegram didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Abd. Jalil dalam kenyataan memaklumkan, siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Pada masa sama, kata beliau, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam, menggugat keharmonian negara dan menjejaskan siasatan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram