Sebahagian daripada pelajar-pelajar sekolah berumur 16 hingga 17 tahun menerima suntikan vaksin Covid 19 pada Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 19,336,889 orang atau 59.2 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap dos kedua atau dos tunggal vaksin Covid-19 setakat semalam.

Mengikut data dari portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, sebanyak 22,599,346 orang atau 69.2 peratus dari populasi negara telah menerima sekurang-kurang satu daripada dua dos vaksin atau dos tunggal vaksin Covid-19.

Katanya, bagi populasi dewasa pula, sebanyak 82.5 peratus telah lengkap dos kedua atau dos tunggal manakala 93.6 peratus lagi menerima satu dos atau dos tunggal vaksin Covid-19.

“Selain itu, sebanyak 22.1 peratus remaja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 0.8 peratus lagi lengkap divaksin.

“Secara keseluruhan, sebanyak 41,847,256 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, KKM berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 273,373 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 116,881 dos pertama diberikan manakala 156,492 lagi melibatkan dos kedua.