Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani./ Gambar FB IPD Brickfields.

CADANGAN bagi mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas hanyalah saranan peribadi Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias sahaja.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, saranan itu belum lagi dibincangkan secara mendalam dan hanya cadangan Azisman di peringkat dalaman JSPT.

Kata beliau, JSPT sebagai salah satu jabatan dalam polis sentiasa melihat kaedah meningkatkan keselamatan.

Beliau menjelaskan, sebarang pengenalan kaedah keselamatan baharu hanya akan dilaksanakan setelah menjalani proses kajian.

“Semalam, Azisman telah menyuarakan cadangan agar lesen memandu bagi warga emas dihadkan.

“Saranan tersebut merupakan cadangan peribadi beliau di peringkat dalaman JSPT sahaja dan belum lagi dibincangkan secara mendalam.

“JSPT yang terlibat dalam memastikan keselamatan jalan sentiasa melihat kepada kaedah-kaedah meningkatkan keselamatan demi kepentingan masyarakat.

“Sebarang pengenalan kaedah keselamatan baharu, hanya akan dilaksana setelah menjalani proses kajian serta diputuskan implementasinya oleh kesemua pihak yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Polis beri amaran jangan degil rentas negeri sambut Aidiladha

Semalam, Azisman mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu.

Jelas beliau, cadangan memperkenalkan syarat khas itu adalah untuk tujuan menjaga keselamatan golongan berkenaan sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ini kerana, katanya, keadaan kesihatan tubuh badan juga menjadi antara faktor kemalangan dengan penyakit seperti ‘alzheimer’ dan masalah mata akan dihadapi warga emas.

“Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula, ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan di jalan raya.

“Warga emas berusia 70 tahun ke atas ini ada yang mempunyai penyakit mudah lupa atau nyanyuk dan kebanyakan kes lawan arus melibatkan golongan ini disebabkan salah masuk jalan. Ada kes sebelum ini warga emas memandu kenderaan memasuki lorong motosikal,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram