MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini meninjau persiapan sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula pada 3 Oktober ini Pulau Tuba, Langkawi, Kedah

Dalam lawatan itu, beliau mengunjungi empat buah sekolah iaitu, SMK Langkawi Pulau Tuba, SK Lubuk Chempedak, SK Pulau Tuba dan SK Selat Bagan Nyior.

Pengoperasian sekolah di Langkawi adalah mengikut negeri dalam Fasa 4 PPN. Langkawi kini berada di bawah pelaksanaan inisiatif gelembung pelancongan.

Beliau turun meninjau asrama bagi memastikan segala garis panduan yang telah diberikan dipatuhi.

Menurut Radzi secara umum beliau mendapati sekolah-sekolah telah bersedia menerima kehadiran murid-murid apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

‘’Ada beberapa perkara yang boleh ditambahbaik khususnya dalam konteks pengudaraan di bilik-bilik darjah dan bilik khas di mana poster-poster dan langsir yang tergantung perlu dialihkan bagi memastikan pengudaraan berada di tahap terbaik,’’ katanya selepas membuat tinjaun tersebut.

Beliau berkata, seperti mana dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam konteks Delta Varian apa yang paling penting adalah pengudaraan dalam bilik darjah, bilik khas, pejabat dan seluruh kawasan berbilik di sekolah perlu dipastikan berlaku pengudaraan yang baik seterusnya dapat mengurangkan risiko jangkitan.

‘’ Selain Langkawi, Ada dua  lagi tempat iaitu Labuan dan Negeri Sembilan yang akan memulakan sesi persekolahan, maka persediaan itu perlu dibuat dengan rapi. Memang kemasukan pertama ini untuk kelas peperiksaan tapi akan diikuti oleh murid-murid lain di sekolah rendah juga.

‘’Jadi, itulah yang kita tekankan supaya membuat persiapan dan persediaan lebih awal walaupun secara umumnya ketika sekolah dibuka pada Fasa 4 yang hanya pelajar peperiksaan bagi sekolah menengah. Tapi Kita juga akan menerima murid berkeperluan khas sebagai contoh dan juga murid prasekolah,’’ katanya.