Tangkap layar video seorang wanita mendakwa ibu mangsa gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal tampil membuat sumpah laknat.

SELEPAS mendedahkan video seorang lelaki mendakwa abang kepada mangsa gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal membuat sumpah laknat semalam, hari ini Firdaus Wong Wai Hung tampil berkongsi satu lagi video terbaharu.

Kali ini, Firdaus Wong yang juga Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) berkongsikan pula video seorang wanita mendakwa ibu kepada mangsa.

Video berkenaan dikongsikan Firdaus Wong menerusi saluran telegram miliknya.

Dalam video sumpah laknat berdurasi 49 saat itu, wanita berkenaan bersumpah dengan nama Allah mendakwa anaknya mengalami kemurungan dan cuba membunuh diri.

Dakwa wanita itu, ia selepas pendakwah terkenal terbabit melakukan perbuatan terkutuk menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan video.

“Bismillahirahmanirahim, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya (nama wanita) bersumpah dengan nama Allah bahawa anak saya (nama mangsa) mengalami kemurungan dan cuba membunuh diri setelah (individu itu) melakukan perbuatan terkutuk menerusi WhatsApp dan panggilan video terhadap anak saya.

“Jika saya berdusta, Ya Allah laknatilah saya,” katanya menerusi video berkenaan.

Sementara itu, Firdaus Wong berkata, ibu mangsa telah memberi kebenaran kepadanya untuk berkongsikan video sumpah laknat tersebut.

Kata beliau, tujuan perkongsian video itu adalah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat dan mahu menggalakkan lebih ramai mangsa serta ahli keluarga tampil membuat laporan polis.

Baca artikel berkaitan: Abang mangsa gangguan seksual pendakwah buat sumpah laknat

“Mereka mengizinkan kerana mereka mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat yang perkara itu memang berlaku.

“Mereka juga mahu menggalakkan lebih ramai mangsa dan ahli keluarga untuk menyokong sesiapa yang mungkin pernah menjadi mangsa gangguan seksual agar berani tampil membuat laporan polis.

“Ini adalah keluarga contoh yang menyokong jihad ahli keluarga mereka yang menerima mesej terkutuk sebegitu,” jelas beliau.

Polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan ekoran video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi Telegram didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Pada masa sama, kata beliau, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam sidang akhbar semalam, Abd. Jalil turut menasihatkan orang ramai supaya menghormati siasatan dijalankan polis ke atas pendakwah terkenal berkenaan.

Beliau menegaskan penyebaran video dan mesej lucah menerusi media sosial yang didakwa melibatkan pendakwah terkenal itu telah mengganggu siasatan asal dijalankan polis berhubung kes gangguan seksual.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram