SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Pasir Pelangi, Johor hari ini.

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya kerajaan menyegerakan semakan semula syarat ketat program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.

Dalam kenyataan dimuat naik ke akaun Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim telah membangkitkan isu berkenaan ketika menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, Johor merupakan antara destinasi utama pelaburan asing selain negeri ini juga antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Johor bukan sahaja berjiran dengan Singapura, malah Program MM2H adalah antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.

“Kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan juga syarat lama dengan membuat berapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi,” titah Sultan Johor.

Sultan Ibrahim turut membincangkan pelbagai perkara lain berkaitan kemajuan Johor dalam pertemuan bersama Perdana Menteri.

Pertemuan bersama Sultan Ibrahim berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru itu turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Baca artikel berkaitan: Sultan Johor kecewa KDN enggan semak semula syarat MM2H

Ini merupakan kunjungan rasmi pertama Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-9 pada 21 Ogos lalu.

Perdana Menteri turut diraikan dalam majlis santapan tengah hari bersama Sultan Ibrahim.

17 September lalu, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) ekoran keengganan kementerian itu menyemak semula syarat ketat program MM2H.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata, kerajaan hanya akan menerima peserta baharu program MM2H yang benar-benar sah, berkualiti tinggi dan dapat memberi sumbangan yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kata beliau, ia adalah dasar baharu kerajaan membabitkan golongan tersebut.

Bagaimanapun, Hamzah berkata, peserta MM2H sedia ada boleh dipertimbangkan untuk mendapat kelonggaran daripada memenuhi dasar semasa yang ditetapkan.

Katanya, ia termasuk keperluan seperti pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak, pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta, pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan dan lain-lain keperluan syarat yang ditetapkan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram