LEMAK hati angsa atau juga disebut sebagai ‘Foie Gras’ merupakan salah satu makanan mewah berasal dari Perancis. Selalunya menu ini dihidangkan pada majlis-majlis khas seperti Makan Malam Krismas dan Makan Malam Tahun Baru.

Tetapi kini banyak tempat sudah menghidangkan menu ini sebagai santapan harian, tidak lagi khusus untuk hari-hari tertentu sahaja.

Foie Gras, hidangan mewah Perancis dari lemak hati angsa.

Memandangkan hati ini mengandungi lemak yang tinggi, ia biasanya dimasak sekejap sahaja di bawah api yang sederhana bagi mengelakkan daripada cair. Rasanya pula? Entahlah… orang kata sangat sedap, lembut dan kaya dengan lemak, berbeza seperti hati itik atau angsa biasa.

Apa yang hendak diceritakan bukan tentang resipi hati ini, tetapi bagaimana si angsa dan itik melalui siksaan untuk memberikan menu mewah bagi memenuhi citarasa manusia.

Di sebalik keenakan rasa dan populariti Foie Gras sebagai makanan mewah, ia turut disusuli dengan kontroversi, bahawa makanan ini terhasil daripada penderitaan itik dan angsa.

Haiwan ini melalui rutin bagai siksaan demi untuk menghasilkan lemak hati yang tinggi.

Berdasarkan statistik, pada tahun 2014 sahaja, sebanyak 95 peratus produk Foie Gras terhasil dari baka khas angsa dan itik terutamanya itik serati jantan atau ‘Cairina Moschata’ serta itik dari spesies ‘anas platyrhynchos’.

Untuk mendapatkan lemak hati haiwan berkenaan mengambil masa yang cukup lama dan prosesnya juga sangat rumit.

Lemak dalam hati haiwan tersebut biasanya dihasilkan di dalam tubuh haiwan itu secara hidup-hidup melalui tiga fasa utama.

Pada peringkat permulaan iaitu ketika haiwan itu berumur kosong hingga empat minggu, anak-anak haiwan itu akan ditempatkan di dalam kumpulan besar. Proses ini berlangsung mulai dari hari pertama kelahiran sehinggalah hari ke-28.

Pada fasa kedua atau dipanggil sebagai ‘pertumbuhan’ pula akan berlangsung mulai dari hari ke-28 sehingga hari ke-63. Semasa tahap ini, haiwan tadi yang berumur empat hingga sembilan minggu akan dibiarkan keluar untuk memakan rumput. Tujuannya adalah bagi membolehkan haiwan tersebut dapat mengembangkan bahagian bawah esofagus secara semula jadi.

Haiwan ini dipaksa makan.

Setelah masuk usia sembilan hingga 13 minggu, itik dan angsa itu akan mula digemukkan dari hari ke-63 hingga hari ke-90. Pada fasa ini, haiwan itu akan dipaksa makan dalam jumlah yang banyak daripada biasa.

Jika haiwan itu tidak mahu makan, suapan diberikan secara paksa menggunakan tiub berukuran 20 hingga 30 sentimeter panjang yang dimasukkan ke dalam tenggorok bagi mengalirkan makanan masuk ke perut angsa itu.

Proses memberi makanan berasaskan jagung secara berlebihan ini dilakukan dua hingga tiga saat bagi setiap seekor, sebanyak tiga hingga empat kali sehari. Kerja-kerja ini dijalankan tanpa henti sehinggalah hati angsa itu berubah menjadi gemuk dan membesar mencapai 10 kali ganda daripada saiz normal.

Sudahlah dipaksa makan, diletak pula dalam kandang kecil supaya haiwan ini terus berdiri.

Selepas diberi makan secara paksa, haiwan itu akan diletakkan di dalam kandang yang sangat kecil. Cara itu bagi memaksa haiwan tersebut terus berdiri pada posisi sama dan diam di tempatnya. Metod ini kononnya dipercayai dapat menjimatkan tenaga seterusnya membolehkan proses pengumpulan lemak terjadi dengan cepat.

Haiwan-haiwan ini juga tidak diberi kesempatan untuk tidur lena kerana setiap masa akan dipaksa makan, makan dan terus makan. Sampaikan makanan itu dilihat melimpah keluar dari mulut angsa tersebut.

Disebabkan dipaksa makan secara kerap, kebanyakan mulut serta tenggorok haiwan itu mengalami luka. Malah sebahagian kemaluan haiwan itu turut mengeluarkan darah. Kaki pula dilihat membengkak kerana berdiri terlalu lama. Dan siksaan itu berterusan sehinggalah angsa itu mati kerana terseksa atau mati disembelih.

Banyak haiwan ini yang mati kerana terseksa, dengan makanan masih terdapat dalam mulut.

Pada April hingga Mei 2013, sekumpulan penyiasat dari Mercy for Animals berjaya merakam video aktiviti kejam tersebut ketika menyamar di sebuah ladang di New York.

Video itu menunjukkan pekerja ladang memasukkan tiub ke dalam kerongkong itik secara paksa. Salah seorang pekerja mendedahkan bahawa selalu terjadi di mana berpuluh ekor itik terbunuh kerana mengalami kerosakan fungsi hati, aliran darah tersekat dan sukar bernafas gara-gara dipaksa makan.

Bagi yang masih bertahan pula, haiwan itu akan disembelih dan diambil bahagian hatinya. Proses penyembelihan untuk itik biasanya dilakukan pada hari ke-100 dan angsa pula menjelang hari ke-112.

Banyak haiwan ini yang mati dalam proses untuk memaksa pembesaran lemak, hanya untuk mendapatkan lemak hatinya bagi hidangan mewah.

Pendedahan itu telah membuat ramai pihak mengecam tindakan tersebut dan waktu itu permintaan hidangan Foie Gras jatuh kerana ramai orang yang memoikotnya kerana penyiksaan haiwan yang dilakukan hanya untuk mendapatkan hidangan mewah itu.

Pun begitu, hidangan ini tetap dikeluarkan di beberapa buah negara secara besar-besaran terutama Perancis, walaupun mendapat tentangan. Biasanya dimasak ala Perancis dan dijual dengan harga sekitar 100 euro (lebih kurang RM500) bagi setiap hidangan.

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam