HIDUP Amir sangat tertekan. Mahu tidak, isterinya kuat berleter. Pagi, petang, siang, malam, isterinya asyik berleter.

Balik kerja lambat, kena leter. Bangun lewat sikit kena leter. Lupa tutup lampu, rumah selerak atau apa saja, Amir pasti kena leter.

Suatu hari Amir pergi berjumpa pawang Shuib yang terkenal boleh merawat macam-macam masalah.

“Saya tak tahan lah dengan isteri saya…” kata Amir lalu menceritakan masalahnya.

Pawang Shuib senyum dengar luahan rasa Amir. “Betoi ka hang dah tak mau dengaq bini berletiaq?” Tanya pawang Shuib (orang utara pawang ni).

“Betul aji. Itu saya datang nak minta tolong ni,” jawab Amir.

“Macam ni, hang boh ubat ni dalam ayaq minum bini hang. Lepas dia minum, dia akan tidur lena. Kemudian, hang angkat pi buang dia dalam lubang yang dalam,” kata pawang Shuib sambil menyerahkan satu botol kecil berisi cecair.

“Itu je?” tanya Amir.

“Ha, tu ja. Tapi sebelum buat, baik hang pikiaq habis dulu. Jangan nanti menyesal di kemudian hari,” pesan pawang Shuib.

Amir pun pulang ke rumah. Bila dia fikir semula, tak tergamak pula hendak buat begitu terhadap bininya. Tapi bila tiba saja di rumah, terus isterinya mula berleter.

“Pergi mana balik lambat? Mesti merayau. Tak ada kerja lain, asyik merayau je. Bukan ingat nak balik cepat ke rumah!” dan bebelan isterinya berterusan tanpa henti.

Geram punya fasal dengan isterinya yang tak henti berleter, Amir yang panas hati nekad untuk buat apa yang disuruh pawang Shuib. Malam itu, sengaja Amir ke dapur dan membancuh secawan air dan dimasukkan ubat tersebut. Dia beri air itu kepada isterinya.

Isterinya ambil air itu. Sambil minum dia sempat lagi berleter, “Ni buatkan air tunjuk baik mesti ada sebab, kan? Mesti ada yang tak kena ni. Entah-entah nak tambah cawangan…”

Tak lama selepas minum, isterinya terus tertidur tak sedarkan diri. Amir mengangkat isterinya dan dibawa ke belakang rumah. Di situ ada sebuah perigi buta terbiar yang sudah tidak digunakan. Sampai di situ, Amir pun campak isterinya ke dalam perigi itu. Dia pulang ke rumah.

Esoknya, Amir rasa hidupnya tenang. Tiada lagi suara leteran sebaik jaga daripada tidur. Apa dia hendak buat termasuk pulang lewat pun, tiada lagi suara yang membingitkan telinganya.

Tapi, masuk hari kedua, Amir rasa lain macam. Seperti ada yang kurang. Telinganya terasa sunyi. Tak ada muzik iringan. Masuk hari ketiga, Amir bertambah bosan dan mula rasa kehilangan. Arghh, tak boleh jadi. Amir terus pergi berjumpa pawang Shuib semula.

“Saya menyesal buang isteri saya. Aji boleh tolong dapatkan isteri saya? Tolonglah Aji. Saya tak kisah kalau lepas ni kena dengar bebelan dia tiap masa,” rayu Amir.

“Aku dah pesan kat hang, pikiaq habis dulu sebelum buat. Kan sekarang dah menyesal. Aku pun tak tau nasib bini hang macam mana. Aku tak berani jamin, tapi hang boleh cuba. Malam ni, hang pergi semula tempat hang buang bini hang tu. Jangan lupa bawak sekali tali panjang. Campak tali tu dalam lubang tempat hang buang bini hang tu. Pasang niat nak ambil balik bini hang. Lepas tu tarik tali tu naik. Hang boleh cuba tiga kali ja. Kalau bini hang tak keluar jugak, itu tanda bini hang dah mampuih lah tu,” ujar pawang Shuib memberi tunjuk ajar.

Malam itu juga Amir bawa tali dan pergi ke perigi buta di belakang rumahnya. Dia campakkan tali itu ke dalam perigi. Amir pasang niat dan kemudian menarik tali itu semula.

Hmm… tiada tanda isterinya keluar. Amir buat cubaan kedua pula. Bila tarik semula tali, pun masih hampa. Isterinya tak keluar juga.

Amir mula risau. Dalam hati dia tertanya-tanya, dah mati ke bini aku ni?

Amir buat cubaan ketiga pula. Dia baling tali ke dalam perigi. Kemudian, dia tarik semula tali itu. Berat! Amir mula rasa gembira. Dia yakin isterinya akan keluar kerana tali yang ditariknya rasa berat seperti membawa beban.

Apabila tali habis ditarik, muncul satu jembalang hitam berbulu lebat dari muka perigi.

“Hei, siapa kau?” herdik Amir.

“Aku penunggu perigi buta ni,” jawab jembalang itu dengan suara garau.

“Mana isteri aku? Manaa… Entah-entah kau dah makan isteri aku. Baik kau pulangkan bini aku!” marah Amir.

Jembalang itu pun menjawab, “Inilah masalahnya. Dah berpuluh tahun aku duduk dalam ni. Aman je hidup aku. Tapi sejak bini kau datang, aku jadi tak senang duduk. Hari-hari siang malam asyik berleter. Naik berbulu satu badan aku ni tau. Aku tak tahan. Aku naik ni sebab nak pindah duduk tempat lain. Tak pernah merana macam ni hidup aku. Kau nak bini kau, pergi lah ambil kat bawah tu!”

😛😛