Bahan-bahan yang biasa digunakan untuk menyihir boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:
- ‘Bahan Luaran’ iaitu bahan yang bukan berasal dari diri mangsa atau orang yang hendak menyihirnya;
- ‘Bahan dalaman’ iaitu bahan yang berasal daripada diri mangsa atau penyihirnya.
Bahan Luaran
Jenis-jenis ‘bahan luaran’ dan cara penyediaannya adalah berbeza-beza mengikut amalan tukang sihir. Bahan-bahan ini lebih merupakan satu simbolik yang menggambarkan bentuk kesan yang hendak dikenakan kepada mangsa. Antara ‘bahan luaran’ yang biasa digunakan dalam upacara sihir ialah:
- Bahan-bahan kotor dan busuk seperti darah, najis, bangkai, tengkorak, kain kafan mayat, air kencing, abu mayat digunakan untuk menjadikan seseorang itu gila, dibenci, mengalami gangguan perasaan.
- Bahan-bahan yang berbisa dan beracun seperti air lipan bara, bisa ular senduk, bisa ular kapak, ubur-ubur, katak puru bertanduk, bisa kala jengking digunakan untuk menyakiti dan menyebabkan penderitaan kepada fizikal mangsa, dan boleh jadi untuk membunuh mangsa.
- Bahan-bahan tajam dan melukakan seperti kaca, mentol lampu, kelonsong telur ayam, benang sutera, berus besi, kawat sental periuk, tali sabut yang direndam, pisau, paku, ranting bunga kertas, kuku manusia atau binatang digunakan untuk menyakiti dan menyebabkan penderitaan kepada fizikal mangsa, dan boleh jadi untuk membunuh mangsa secara perlahan.
- Bahan-bahan gatal dan miang seperti miang buluh, miang tebu, miang rebung, tali guni dan ulat bulu mati beragan digunakan untuk mendatangkan kemudaratan kepada tubuh mangsa terutama organ dalaman.
- Bahan-bahan simpulan seperti kain, benang, rambut, tali sabut, tali yang mempunyai warna-warna tertentu, biasanya merah, hitam, kuning dan putih digunakan untuk mengurung atau mengawal kehendak dan mental seseorang dari berfikir secara waras.

Bahagian tertentu dari anggota badan manusia seperti tengkorak, tulang belulang atau apa-apa yang terhasil darinya seperti rambut, kuku, air liur, air mani dan darah haid digunakan untuk mengawal atau menundukkan seseorang supaya mengikut segala kehendaknya.
- Bahagian tertentu dari anggota haiwan seperti taring harimau, gading gajah, tanduk kerbau, taring babi hutan digunakan untuk menjadikan mangsa itu garang ditakuti orang. Bulu kongkang, hati mawas putih, hati kura-kura dan tulang dagu kera duku digunakan untuk menjadikan mangsa itu bodoh dan malu apabila melihat orang.
- Bahan-bahan yang diambil dalam keadaan tidak stabil seperti benda-benda yang memusing di tengah-tengah air seperti daun, kayu atau haiwan mati, atau benda-benda seperti bangkai semut, labah-labah atau lipas yang tersangkut di sarang labah-labah, atau benda-benda bergantung yang sentiasa berpusing ke kanan dan ke kiri, atau sampah, daun kayu atau binatang kecil yang telah mati diambil dari air yang berpusar. Ianya digunakan untuk menjadikan mangsa bingung, tidak keruan, gelisah dan tidak tentu arah.
- Patung-patung yang dibentuk dari tanah liat, lilin atau jerami, kemudian dicucuk dengan jarum atau duri nibung, disalai dan dibakar, dan sebagainya bertujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.
Bahan Dalaman
‘Bahan dalaman’ pula merujuk kepada barang peribadi milik mangsa yang hendak disihir atau milik orang yang hendak melakukan sihir itu sendiri seperti rambut, bulu roma, kuku, pakaian dalam, baju, kain, seluar, tisu dan tuala yang pernah dipakai oleh mangsa.

Bahan-bahan tersebut mengandungi sampel DNA mangsa dan ini memudahkan jin dan syaitan untuk mengesan mangsanya dengan tepat. Justeru,Islamtelah menyeru agar umatnya mengambil berat soal penjagaan barangan peribadi. Antaranya ialah dengan menanam rambut dan kuku yang bercerai dari tubuh. Sudah pasti perkara ini ada seribu hikmah.
Oleh yang demikian, dapatlah kita simpulkan bahawa Al-Quran dan hadis telah menunjukkan beberapa kaedah yang praktikal untuk mengatasi gangguan ilmu hitam dalam kehidupan kita.
Allah S.W.T. juga telah menegaskan bahawa ilmu hitam tidak akan memberi apa-apa kesan mudarat kepada manusia melainkan dengan izin Nya. Justeru, kita perlu sentiasa berdoa memohon agar Allah menjauhkan kita daripada ancaman sihir. Wallahu a’lam
Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail Pensyarah Universiti Malaysia Pahang
________________________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram