pkpd
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal sekitar kawasan perumahan yang dipagar menggunakan kawad duri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Merpati, Pandan Indah, Kuala Lumpur. - GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK tiga tanah rancangan Felda di Bera, Pahang merupakan antara tujuh kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu ini.

Empat lagi lokaliti yang dilaksanakan PKPD pula terletak di Perak.

Pelaksanaan PKPD di tujuh kawasan terbaharu itu akan dilaksanakan selama dua minggu.

Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.

Keputusan melaksanakan PKPD di tujuh lokaliti dalam dua negeri itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Rodzi berkata, pelaksanaan PKPD di kesemua lokaliti itu akan dikuatkuasakan sehingga 12 Oktober depan.

Menurut beliau, pelaksanaan PKPD di tiga tanah rancangan Felda itu melibatkan kawasan Felda Rentam, Felda Tementi dan Felda Sebertak.

“PKPD di Perak pula melibatkan perkampungan Orang Asli Seri Makmur di Tanjung Rambutan, Kinta.

Baca artikel berkaitan: PKPD di lima lokaliti di Sabah dan Pahang

“Ia melibatkan Kampung Bakok, Kampung Jambu, Kampung Lalang dan Kampung Dollah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Rodzi turut memaklumkan tujuh lagi lokaliti di Perak, Sabah dan Pahang akan ditamatkan PKPD berkuat kuasa esok.

Jelas beliau, penamatan PKPD di kesemua lokaliti itu setelah meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa.

Katanya, PKPD di Kampung Orang Asli Gangai, mukim Slim, Muallim, Perak akan ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Rodzi berkata, PKPD di kawasan tersebut yang bermula pada 23 September lalu sepatutnya tamat 6 Oktober depan.

“Di Pahang, PKPD di Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Raub yang telah dimulakan sejak 21 Julai lalu akhirnya tamat esok mengikut jadual.

“Satu lagi PKPD adalah melibatkan Kampung Paya Pelong, Kerdau, Temerloh, Pahang yang juga ditamatkan esok.

“Empat PKPD di Sabah yang akan tamat esok pula adalah Kampung Warisan dan Rumah Pangsa Tanjung Aru di Kota Kinabalu; Kampung Rugading di Kota Marudu dan Kilang Fu Yee di Kalabakan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram