BERKAT kesabaran selama 10 tahun untuk menimang cahaya mata akhirnya memberi sinar kebahagiaan buat penyanyi Azmi Saat apabila isterinya, Naziah Muhammad selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 9.09 pagi tadi.

Lebih istimewa lagi, anak sulungnya itu merupakan hadiah ulang tahun ke-34 buat Azmi yang disambut hari ini.

Anggota kumpulan Caliph Buskers itu meluahkan rasa syukur dan gembira menerusi entri di Instagram miliknya.

“Alhamdulillah. Pukul 9.09 pagi tadi, anak sulung saya telah selamat dilahirkan ke dunia.

“Urusan pembedahan berjalan lancar. Macam-macam perasaan ada bila kali pertama mendengar suara bayi,” tulisnya.

Azmi dan isteri

Penyanyi lagu Tulus itu turut menitipkan doa dan berharap akan menjadi seorang bapa yang baik buat zuriatnya.

“Syukur ya Allah. Moga saya dapat menjadi ayah yang baik. Terima kasih atas doa kalian yang tak putus-putus buat kami sekeluarga,” katanya.

Sebelum ini, Azmi mendedahkan isterinya bakal bersalin secara pembedahan mengikut nasihat doktor bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan.

Azmi dan isteri sepakat memilih tarikh 27 September bersempena tarikh kelahirannya.