buang anak

Bagaimana seorang ibu tergamak berbuat demikian? Hanya orang yang tidak waras bertindak sebegitu kejam!

Tiada alasan yang dapat diterima akal untuk menghalalkan tindakan tersebut. Namun, sebelum kita menuding jari dan mencela ibu yang bersalah, kaji punca dan fahami tindakan daripada perspektif pihak yang terlibat.

Secara amnya, kebanyakan kes buang bayi di Malaysia melibatkan remaja perempuan yang menjadi mangsa gejala sosial seperti penderaan, penganiayaan, pengabaian, tekanan psikologi, perkosaan dan sumbang mahram.

Kebiasaannya mereka dapat menyembunyikan kandungan selama sembilan bulan kerana mempunyai perut yang tidak begitu besar atau mempunyai badan yang sememangnya berisi. Perut juga tidak jelas kelihatan jika ditutup dengan pakaian yang longgar.

GOLONGAN BERPOTENSI BUANG BAYI

• Remaja perempuan yang menjadi mangsa gejala sosial seperti penderaan, penganiayaan, pengabaian, tekanan psikologi, perkosaan dan sumbang mahram.

• Wanita tidak berkahwin yang mengandung anak luar nikah.

PUNCA BUANG BAYI

• Ingin merahsiakan kelahiran kerana malu dan takut dengan keluarga.

• Ingin menjaga nama baik dan elak cemuhan masyarakat.

• Tidak mampu menjaga anak – masih bersekolah atau tidak bekerja.

• Tidak mahu anak yang dilahirkan.

• Kurang didikan agama dan sokongan moral.

• Keadaan emosi ibu bersalin yang tidak stabil – postnatal depression.

PERANAN KELUARGA DAN MASYARAKAT

Ibu bapa perlu sedia menerima dan memaafkan anak yang terlanjur, bukan menghukum mereka. Bimbingan dan sokongan moral amat kritikal pada waktu ini bagi mengelakkan mereka dari terus membuat kesilapan yang lebih besar seperti membunuh bayi yang tidak berdosa.

Masyarakat juga perlu berfikiran positif dan tidak cepat membuat kesimpulan sendiri. Jangan mencemuh mangsa kerana kita tidak tahu kisah sebenar. Sebaliknya, berikan mereka sokongan dan semangat untuk memulakan kehidupan baru dengan bayi yang baru dilahirkan.

Terdapat juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang memberi perlindungan dan bimbingan kepada remaja yang menjadi mangsa gejala sosial ini. Salah satunya ialah Raudhatus Sakinah (RS) yang beroperasi sejak Ogos 1998 di bawah pengendalian Wanita Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (WJIM). RS didaftarkan secara rasminya di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Antara khidmat mereka ialah bimbingan rohani, fardu ain, akhlak, kaunseling individu dan kelompok, kemahiran diri, komputer, masakan dan kraf tangan. Mereka juga memberi khidmat kaunseling kepada remaja yang memerlukan dan mengadakan siri ceramah sebagai usaha pencegahan.